Search
Close this search box.
Mahkamah Tinggi Melaka menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang bekas pelayan restoran Ahmad Shamil Ashraf Zainuddin, atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi teman wanitanya yang baru dilahirkan pada tiga tahun lepas. (Foto Bernama)

Lelaki dipenjara lapan tahun sebabkan kematian bayi teman wanita

ByBernama

MELAKA, 17 Mei: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas seorang bekas pelayan restoran, atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi teman wanitanya yang baru dilahirkan pada tiga tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman tersebut, selepas tertuduh Ahmad Shamil Ashraf Zainuddin, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau turut mengarahkan hukuman bermula sejak tarikh ditangkap iaitu 29 Mac 2021.

Ahmad Shamil atas pertuduhan pilihan, didapati telah melakukan satu homosid mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh, ke atas seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan Farah Najwa Ab Rahman, 21, di kawasan semak berhampiran Pusat Asuhan Tunas Islam Ahmadiah, dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Mac 2021, antara 12.01 tengah malam hingga 10.30 malam.

Tertuduh yang ketika itu berusia 19 tahun, dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilalif Mohd Rosli manakala peguam M. Vinodharan mewakili tertuduh.

Terdahulu Mohd Radzi ketika penghakiman berkata mahkamah menganggap perbuatan tersebut sangat menyedihkan yang tidak diterima oleh mahkamah dan masyarakat, dan secara jelas perbuatan itu sendiri menunjukkan sesuatu perlakuan yang tidak bertanggungjawab.

“Walaupun tertuduh telah panik dengan keadaan teman wanitanya yang melahirkan di rumahnya, namun pada pendapat mahkamah, panik bukan alasan yang baik menjustifikasikan perbuatan tersebut dan kamu seharusnya bersyukur kerana hukuman diturunkan dari 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati kepada 304(a) yang hanya penjara.

“Dalam hidup ini kita sentiasa menghadapi situasi membuat pilihan dan Tuhan mengurniakan akal untuk membuat pilihan yang tepat dan diharap hukuman ini memberi pengajaran kepada kamu,” katanya.

Menurut fakta kes, pengadu iaitu Farah Najwa mengalami pendarahan kerana bersalin di rumah dan setelah pemeriksaan dan rawatan dilakukan di Hospital Melaka, petugas hospital bertanya keadaan bayinya namun dia tidak mengetahui lokasi bayi tersebut, kerana telah dibuang oleh teman lelakinya iaitu tertuduh.

Pengadu yang ketika itu berusia 18 tahun ketika kejadian memaklumkan bayi tersebut sewaktu dilahirkan masih hidup kerana terdengar tangisan dan petugas hospital tersebut meminta pengadu menelefon tertuduh bagi mengetahui lokasi sebenar bayi tersebut dibuang dan tidak lama kemudian, mendapati bayi tersebut sudah diletakkan di kaki pengadu dalam keadaan dibalut dengan kain hijau milik Hospital Melaka.

Petugas hospital kemudiannya memeriksa bayi tersebut dan mendapati tiada kesan gigitan pada badan mayat bayi lelaki berkenaan dan ada najis serta telah muncul tanda lebam mayat, manakala hasil bedah siasat mendapati tiada kepatahan tulang dan pemeriksaan hispathologi paru-paru menunjukkan kesan-kesan congenitial pneumonia.

Laporan kimia pengesanan DNA bayi lelaki itu dengan pengadu dan tertuduh adalah kebarangkalian 99.999 peratus dan turut menyatakan bayi tersebut lahir dalam keadaan hidup dan berpendapat tindakan tidak membawa bayi tersebut selepas dilahirkan dan kemudiannya membuang ke kawasan tidak sepatutnya, menyebabkan kebarangkalian paru-paru bayi tersebut merosot dan membawa kepada kematian. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan