Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10 di Bali, Indonesia, hari ini. Foto Fadillah Yusof (Twitter)

Malaysia teroka tenaga solar di kawasan tadahan air

ByBernama

BALI, 20 Mei: Malaysia kini sedang meneroka cara untuk mengoptimumkan kawasan tadahan air bagi menjana tenaga solar tanpa menjejaskan alam sekitar dan kualiti air, susulan amalan yang dilaksanakan negara lain, termasuk Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata panel solar terapung Cirata terletak di empangan di Jawa Barat, boleh dijadikan contoh.

“Malaysia menegaskan bahawa ia akan memastikan persaingan dan ketidaksamaan terhadap sumber air dan tenaga akan seimbang tanpa menjejaskan daya tahan keseluruhan masyarakat,” katanya dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10, di sini hari ini.

Fadillah, Elon Musk hadiri mesyuarat kepimpinan tertinggi Forum Air Dunia

Fadillah menekankan matlamat menyeluruh Malaysia untuk memastikan keselamatan air untuk semua, dapat direalisasikan melalui penggunaan pengurusan sumber air bersepadu.

Matlamat utama termasuk mencapai liputan air bersih sebanyak 98 peratus di kawasan luar bandar dan mengurangkan kadar air bukan hasil kepada 31 peratus menjelang 2025.

“Di bawah Matlamat Pembangunan Lestari 6, akses yang saksama untuk air selamat dan sanitasi ditekankan untuk penduduk luar bandar dan terpinggir, yang harus diberi keutamaan, sementara air bersih dan sanitasi memainkan peranan penting dalam kesihatan awam,” jelasnya.

Tahun lepas, kira-kira 97.1 peratus penduduk di Malaysia mempunyai akses kepada air minum yang selamat dan 85.4 peratus penduduk terutamanya di bandar-bandar utama menerima perkhidmatan pembetungan berpusat.

Fadillah menegaskan Malaysia juga sedang membangunkan rangka kerja untuk daya tahan terhadap air antara fokus utama dalam Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia yang penting memandangkan negara terdedah kepada cabaran berkaitan air seperti banjir, kemarau dan pencemaran air.

Memandangkan Malaysia menekankan hubungan yang saling berkaitan antara air dan keamanan, menekankan kewujudan bersama kepentingannya, beliau juga berkata bahawa forum itu perlu menyokong akses dan pengurusan sumber air yang saksama, terutamanya komuniti luar bandar, mempromosikan amalan lestari yang membuka jalan untuk masa depan yang aman dan makmur.

“Malaysia berhasrat untuk memperkasakan individu bagi memudahkan pelaksanaannya melalui kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, organisasi bukan kerajaan, ahli akademik dan pelbagai komuniti, meningkatkan tadbir urus di semua peringkat sambil kita mengukuhkan kemampuan kewangan dan infrastruktur menggunakan teknologi kos efektif,” katanya.

Fadillah menyertai pemimpin dunia dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi WWF yang dipengerusikan Presiden Indonesia Joko Widodo.

WWF, yang diadakan setiap tiga tahun, dianjurkan bersama oleh Majlis Air Dunia (WWC) dan negara tuan rumah. Acara tahun ini, bertemakan “Air untuk Kemakmuran Bersama” berlangsung dari 18 hingga 21 Mei.

Forum itu bertujuan untuk memupuk hubungan kerjasama global dan menggalakkan tindakan dalam mengenal pasti isu-isu terkini berkaitan pengurusan air melalui penyelesaian bersepadu.

Fokusnya termasuk pemuliharaan air, air bersih, keselamatan makanan dan tenaga serta mitigasi bencana. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan