Search
Close this search box.

i-Sinar, Langkah Sementara Berdepan Situasi Yang Tidak Pernah Berlaku Sebelum Ini

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperjelas bahawa i-Sinar dan program-program lain di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan langkah sementara berikutan situasi ekonomi yang mencabar pada masa ini.

Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Lau Zheng Zhou berkata kumpulan pemikir itu mengakui keperluan penting rakyat untuk memenuhi tanggungjawab kewangan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, namun, Malaysia tidak seharusnya menggalakkan individu menyifatkan simpanan KWSP sebagai pilihan pertama pembiayaan.

Beliau berkata kumpulan pemikir itu prihatin terhadap keselamatan kewangan ahli-ahli KWSP serta anggota keluarga mereka.

“Kira-kira 70 peratus daripada ahli KWSP berumur 55-60 tahun memilih melakukan pengeluaran sekali gus sebaik sahaja bersara dan sebahagiannya lagi menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh hanya lima tahun,” katanya kepada Bernama.

Lau berkata walaupun kemudahan i-Sinar KWSP dijangka akan digunakan sepenuhnya, justeru, akan meningkatkan penggunaan, kesan pengganda mungkin terhad memandangkan ia lebih kepada menambahkan perbelanjaan yang mungkin berlaku pada waktu biasa dan bukan sebagai suntikan besar kepada ekonomi.

“Malah, sebahagian daripada pengeluaran ini boleh digunakan untuk membayar hutang dan bukannya untuk penggunaan sendiri,” tambahnya.

Lau melahirkan keyakinan bahawa langkah mengisi semula Akaun 1 merupakan langkah yang baik selepas masalah kewangan individu itu pulih dan meneruskan semula caruman KWSP mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata individu perlu diberikan insentif bersesuaian untuk menguruskan kewangan peribadi mereka secara bertanggungjawab dan mengekalkan keseimbangan antara keperluan perbelanjaan semasa dan untuk masa depan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub menyifatkan pengumuman memperluaskan skop kemudahan i-Sinar tidak begitu sesuai kerana kerajaan sebelum ini telah bersetuju untuk melaksanakan pengeluaran secara bersasar.

“Oleh itu, saya menasihatkan pencarum KWSP untuk merancang pelaburan kecil dalam bentuk simpanan lain agar wang mereka tidak habis begitu sahaja dan bukannya menggunakan semua wang yang dikeluarkan untuk keperluan kecemasan,” katanya.

Dalam konteks persaraan, Mohammad Tawfik berkata beliau yakin ia tidak akan menjadi masalah besar sekiranya pencarum berupaya merancang keperluan persaraan mereka dan tidak membuat hutang baharu yang boleh menjejaskan aliran tunai dan perbelanjaan mereka pada masa depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula berharap ahli KWSP yang tidak terjejas untuk tidak membuat sebarang pengeluaran.

“Ini bagi memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi selepas persaraan,” katanya sambil menambah bahawa pandemik itu menyebabkan kerajaan mengambil langkah-langkah tidak konvensional kerana banyak pihak yang masih terjejas teruk.

“Secara umum, pengeluaran itu akan menambah mudah tunai kepada ekonomi negara dan ini akan memberi rangsangan kepada aktiviti-aktiviti ekonomi berikutan rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk berbelanja,” katanya.

Semalam, KWSP menjangka kemudahan i-Sinar akan memberi manfaat kepada dua juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan disediakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata KWSP telah memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100 dan amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan