Search
Close this search box.

Pertembungan JDT, Kedah Buka Saingan Liga-M 2021

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan, pasukan Kedah yang muncul naib juara Liga Super 2020 sebagai lawan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Piala Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan semalam berkata, pemilihan skuad Lang Merah itu diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL, selepas tiada pemenang bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, susulan dibatalkan ekoran pandemik COVID-19.

Pertembungan yang dijadual pada 26 Feb itu bakal menjadi aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021, sebelum saingan Liga Super dan Liga Premier masing-masing bermula pada 27 serta 28 Feb.

“Kejohanan Piala FA bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac sehingga aksi final pada 11 Sept, manakala Piala Malaysia bermula 17 dan 18 Sep dan dijadual berakhir pada 27 Nov. Kejohanan Piala Cabaran akan berlangsung bermula 3 Sept 2021,” katanya.

JDT yang menjuarai Liga Super 2020 turut merangkul gelaran juara sumbangsih musim ini selepas menewaskan Kedah 1-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL menetapkan tempoh pendaftaran pertama bagi musim 2021 bermula 21 Nov ini sehingga 14 Feb tahun hadapan, sementara tempoh pendaftaran kedua selama empat minggu bermula 12 Julai 2021.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan perancangan kalendar baharu Liga-M 2021 telah mengambil kira pelbagai aspek, antaranya proses peralihan persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) dan kalendar bola sepak antarabangsa yang turut melibatkan pasukan kebangsaan.

“MFL turut mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tarikh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 dan Piala AFC 2021, yang melibatkan tiga pasukan dari Liga-M.

“Selain daripada itu, kejohanan Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) 2021 yang dijadual berlangsung pada 11 April hingga 8 Mei, disusuli kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFC bermula 3 sehingga 20 Mac,” tambah beliau.

Sementara itu, Ab Ghani turut mengesahkan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL juga telah meluluskan prosedur Pengambilan dan Pendaftaran Pemain dan Pegawai Asing Musim 2021, di mana prosedur ini juga telah dibentangkan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata pasukan yang hendak menggunakan khidmat pegawai dan pemain asing perlu memohon secara terus melalui surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, dengan menyertakan maklumat terperinci pegawai atau pemain terbabit yang sahih.

Turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan adalah bermula musim 2021 dan seterusnya semua pemain berdaftar dalam pasukan Liga Super dan Liga Premier wajib menandatangani kontrak sebagai pemain profesional, termasuk pemain dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya berharap agar segala perancangan MFL bagi musim 2021 ini akan berjalan lancar dan bersama-sama berdoa supaya situasi COVID-19 di negara ini akan bertambah baik,” kata Ab Ghani.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan