Search
Close this search box.

Perkembangan PKPB: SOP Pelancongan, Arahan WFH Diteliti Semula – Ismail Sabri

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Prosedur Operasi Standard (SOP) sektor pelancongan dan arahan Bekerja Dari Rumah (WFH) akan diteliti semula susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang ditamatkan pada 7 Dis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata perkara itu akan diteliti kerana kerajaan juga telah bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kelulusan polis mulai tarikh sama.

Beliau berkata bagi sektor pelancongan yang melibatkan kombinasi antara aktiviti ekonomi dan sosial, perbincangan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti aktiviti yang dibenarkan.

“Walaupun rentas negeri dibenarkan namun terdapat beberapa kawasan masih dalam PKPB, termasuk kawasan pelancongan, dan aktiviti sosial tidak dibenarkan bagi kawasan PKPB.

“Sebagai contoh, Zoo Negara mungkin boleh dibuka kerana ia kawasan terbuka tapi sebab masih dalam kawasan PKPB, aktiviti sosial tak dibenarkan. MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan bincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk senarai positif (dibenarkan) dan negatif (dilarang),” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini.

Berhubung isu WFH, Ismail berkata MKN akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Utama serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk meneliti keperluan meneruskan arahan itu.

Mengenai pemakaian pelindung muka di tempat awam, beliau berkata kebenaran pemakaian alatan itu sebelum ini hanya kepada pelajar di sekolah untuk mengurangkan beban ibu bapa.

Bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada orang ramai boleh memakai pelindung muka tanpa pelitup muka di tempat awam.

“(Isu) Pemakai pelindung muka akan dibangkit dan dimuktamadkan selepas mendapatkan nasihat KKM.

“Kita khuatir jika orang hanya pakai pelindung muka tanpa pakai pelitup muka, (mereka) mungkin dikenakan tindakan kerana pakai pelitup muka adalah wajib,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan