Search
Close this search box.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan pengguna media sosial agar menjaga kesopanan dan tatasusila serta bertolak ansur ketika memberi pandangan atau membuat sebarang ulasan berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

MCMC Bekerjasama Dengan 15 Penyedia Perkhidmatan Anjur Kempen Tangani Jenayah Telekomunikasi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi bagi mendidik pengguna mengenal pasti aktiviti penipuan serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi menghalang cubaan penipuan (scam) yang semakin berleluasa.

Lima belas penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat dalam kempen kesedaran tersebut ialah Altel, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, PAVOCOMMS, RedONE, RedTone, Time, TM, TuneTalk, U Mobile, Webe, XOX dan YES.

MCMC menerusi satu kenyataan hari ini berkata kempen kesedaran yang bermula esok itu tertumpu kepada tiga modus operandi jenayah telekomunikasi iaitu penipuan panggilan (Vishing), penipuan SMS (Smishing) dan penipuan kod transaksi pengesahan (TAC).

Penipuan melalui panggilan telefon ialah pemanggil mengaku sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, mahkamah ataupun badan swasta seperti institusi perbankan memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa dan kemudiannya memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

Penipuan SMS pula adalah individu akan menghantar teks pesanan kononnya daripada insititusi perbankan dan menyatakan terdapat transaksi perbankan telah dilakukan dan mangsa diminta untuk membuat pengesahan dengan menghubungi nombor talian atau klik pada pautan yang disertakan.

Penipuan kod TAC pula melibatkan individu yang menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

“Di bawah kempen ini, hebahan berkaitan dengan maklumat serta tip untuk mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya akan dikongsi secara menyeluruh di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, laman sesawang selain penggunaan hashtag,” kata MCMC.

Menurut MCMC, sejumlah 1,290 kes penipuan telah dilaporkan kepada MCMC dalam tempoh antara tahun 2020 sehingga Mei tahun ini.

MCMC berkata mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala tindakan penamatan nombor talian tetap atau mudah alih yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan dibuat di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut MCMC, rekod PDRM menunjukkan sejumlah 5,725 kes penipuan panggilan telah dilaporkan kepada badan itu sepanjang 2019 dengan nilai kerugian sebanyak RM254,586,210.94, dan meningkat pada 2020 apabila 6,003 kes telah dilaporkan dengan nilai kerugian sebanyak RM287,301,039.90.

Sehingga 24 Mac lepas, jumlah kes penipuan panggilan yang telah dilaporkan kepada PDRM adalah sejumlah 1,392 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM38,198,730.01.

“Ini merupakan situasi yang perlu ditangani segera,” kata MCMC.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak tidak dikenali dan mencurigakan dan segera merujuk atau melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk perhatian dan tindakan susulan.

Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung insiden penipuan (scam) kepada PDRM CCID Scam Response Centre melalui talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 yang dibuka setiap hari bermula 8 pagi sehingga 8 malam.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan