Search
Close this search box.

Aidilfitri: Keluarga, penjaga dibenar lawat PUSPEN – AADK

KUALA LUMPUR, 27 April : Keluarga dan penjaga penghuni Program Rawatan dan Pemulihan dibenarkan membuat lawatan khas ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara bersempena sambutan Aidilfitri bermula 9 hingga 12 Mei ini.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelawat perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam tempoh Fasa Peralihan ke Endemik termasuk perlu lengkap dua dos vaksin.

“Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak PUSPEN menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas, pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terlibat.

“Perkara itu diputuskan sebagai usaha dan langkah AADK untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni,” menurut kenyataan itu.

Kebenaran lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan antara penghuni dan keluarga, memberi sokongan moral serta memberi peluang kepada keluarga melihat sendiri perkembangan pemulihan penghuni.

“Orang ramai boleh menghubungi PUSPEN untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menghubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019- 626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah,” katanya.

Sementara itu, semua institusi penjara seluruh negara membenarkan anggota keluarga melawat penghuni bermula 5 hingga 7 Mei ini sempena Aidilfitri.

Menurut Jabatan Penjara lawatan merangkumi penjara, pusat pemulihan akhlak, pusat pemulihan khas, tempat tahanan khas serta Sekolah Henry Gurney dan tiada lawatan pada hari raya pertama dan kedua. 

Perjumpaan diadakan dalam dua kaedah iaitu secara bersemuka serta dalam talian dan temu janji perlu dibuat sama ada melalui Sistem i-Visit di www.prison.gov.my; atau panggilan telefon di institusi terlibat selain menghantar e-mel atau surat.

“Waktu lawatan ditetapkan bermula pada 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan diberi keutamaan kepada penghuni beragama Islam sahaja dengan seorang penghuni penjara hanya dibenarkan menerima sekali sahaja lawatan,” demikian menurut kenyataan Jabatan Penjara di sini hari ini. 

Semua pelawat perlu membuat ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (RT-PCR) atau Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi.

Pelawat juga perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan dan dilarang membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni, sebaliknya ia boleh didapati di kantin penjara.

Bagi pelawat yang ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti membayar yuran peperiksaan, mereka perlu mendapatkan resit rasmi sebagai akuan penerimaan dan pihak penjara boleh melakukan pemeriksaan fizikal semasa pelawat keluar atau masuk berdasarkan Akta dan Peraturan-peraturan penjara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan