Search
Close this search box.
ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon menyumbang RM10 ribu kepada Politeknik Mukah. Foto: TVS

Politeknik Mukah terima RM10 ribu daripada ADUN Murum untuk pergiat kerja sukarelawan

MUKAH, 2 Sept : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, telah menyumbang RM10 ribu kepada Politeknik Mukah (PMU) baru-baru ini pada Majlis Penutupan Program Sukarelawan TVET Polikasih Bersama Komuniti Sekolah Kebangsaan Long Gang, Belaga.

Katanya sumbangan tersebut diberi sebagai penghargaan terhadap usaha keras dan disiplin tinggi yang telah ditunjukkan oleh Pasukan Politeknik Mukah sepanjang program aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) diadakan di kawasannya.

Program Sukarelawan tersebut dijalankan selama tiga hari bermula pada 27 hingga 30 Ogos lalu melibatkan 50 orang kekuatan pasukan CSR gabungan staf dan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Matematik dan Sains Komputer serta Kelab Sukan Rekreasi Staf (KESURES) PMU.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik serta Yayasan Sukarelawan Siswa (YES) PMU dan dikendalikan oleh Muhammad Hazim Fahmi Mohd Ghafar selaku Penyelaras YES PMU.

Pengarah Politeknik Mukah, Dr Zamzam Mohd Walid, berkata Sukarelawan Politeknik Mukah memainkan peranan penting dan telah membuat perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan program berjaya dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Menurutnya, penglibatan Politeknik Mukah bersama warga komuniti Belaga dapat melahirkan pelajar yang holistik selari dengan visi politeknik itu, iaitu ‘Menjadi Peneraju TVET Yang Unggul’.

“Pembentukan sukarelawan dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi memperlihatkan satu usaha pembangunan modal insan menerusi pembentukan semangat kesukarelawan dan aktiviti sosial dalam komuniti dan masyarakat,” katanya.

Justeru, tambah Zamzam, aktiviti dan program sukarelawan yang dijalankan oleh Sukarelawan Politeknik Mukah adalah selaras dengan hasrat negara dalam pembangunan modal insan.

“Antara kerja-kerja CSR TVET Politeknik Mukah yang telah dilaksanakan bersama komuniti setempat adalah Pendawaian Elektrik di Dewan Besar SK Long Gang serta perkongsian ilmu dan kesedaran tentang keselamatan pendawaian elektrik di Uma Badeng bersama komuniti.

“Selain perkongsian ilmu berkaitan simen fero dengan komuniti setempat, aktiviti lain adalah Program Outreach Jom Masuk Politeknik di SMK Bakun serta menyelenggara dan mengecat semula gelanggang badminton di dewan SK Long Gang,” jelasnya lagi.

Teks ucapannya telah dibacakan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PMU yang juga Ketua Delegasi, Nik Aznan Abdul Hadi.

Turut hadir pada majlis penutupan itu adalah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Perridi Acheng, Guru Besar SK Long Gang, Sibi Lang, Yang Dipertua PIBG SK Long Gang, Rirchard Luhat, Penyelaras Program Sukarelawan TVET, Mohd Ramli Ali, dan Pengarah Program Sukarelawan TVET, Mohd Azizan Mohd Said. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan