Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS)

RM5 juta dilulus untuk JTS fokus penyelidikan perubahan iklim dan tenaga hijau

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 4 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS) menubuhkan kursi penyelidikan yang memberi fokus kepada perubahan iklim dan tenaga hijau dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pada masa sama Abang Johari meminta jabatan berkenaan untuk menghantar lebih ramai pegawai untuk meneruskan penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk pelbagai data lapisan seperti di Estonia yang semuanya diintegrasikan dalam satu platform.

“Pagi tadi (3 Februari), kita ada mesyuarat bagi menyediakan lorong khas untuk Transit Aliran Automasi (ART) di Samarahan sementara persimpangan lampu isyarat sedang dinaik taraf, saya dimaklumkan terdapat satu kabel di bawah Sarawak Energy tidak jauh dari bulatan terakhir yang tidak dapat mereka temui.

“Ini kerana jika mereka tidak berhati-hati, kerja-kerja penggalian boleh merosakkan kabel dan menyebabkan bekalan elektrik terputus. Oleh itu, pelbagai data lapisan ini wajar ada supaya kita dapat mengenal pasti punca kerosakan tersebut.

“Saya harap dengan teknologi baharu itu, ia akan memudahkan urusan kerja kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam LANDAS Summit 2023 anjuran JTS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai kursi penyelidikan, Abang Johari berkata, pengalaman praktikal pegawai dan kerja di lapangan akan dinilai dalam program Sarjana.

“Anda juga akan dianugerahkan Ijazah Sarjana yang merupakan kelayakan Pasca Siswazah,” katanya.

Terdahulu, Pengarah JTS, Datu Abdullah Julaihi dalam ucapannya memaklumkan bahawa JTS dan UTM telah pun memuktamadkan mengenai penubuhan kursi penyelidikan itu.

“Abang Johari juga telah meluluskan permintaan JTS untuk memperoleh anggota penguatkuasa tambahan bagi memperkukuh Unit Penguatkuasaan JTS.

“Kami memerlukan lebih ramai penguatkuasa untuk membantu dalam kerja-kerja kami, terutamanya di kawasan luar bandar, bagi mengelakkan sebarang pencerobohan ke kawasan yang telah ditinjau,” katanya.

Abdullah berkata, bahawa tugas penguatkuasaan semakin mencabar dengan limpahan pembangunan infrastruktur darat, laut dan udara di Sarawak, selain skop lesen operasi dan permit untuk memastikan sumber asli Sarawak dikawal dengan cekap, termasuk penyimpanan karbon.

“Dengan tugas semasa sahaja, terdapat lebih banyak cabaran kerana akses kepada penempatan yang meluas meningkat dengan pembinaan rangkaian jalan raya dan jambatan baharu.

“Orang ramai cenderung untuk meneroka penempatan baharu, dan jika tidak dikawal, ia boleh mengganggu perancangan pembangunan pada masa hadapan,” tambahnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan