Search
Close this search box.
Perniagaan anda berpotensi untuk memperoleh pelbagai faedah sekiranya anda mendaftarkan perniagaan.

Daftar perniagaan anda untuk masa hadapan yang lebih cerah

PADA April 2022, Malaysia memasuki fasa ’Peralihan ke Endemik’ yang melihat, antara lain, pembukaan semula sektor ekonomi. Fasa ini memberikan impak positif kepada usahawan di Malaysia dan memberikan semangat baru kapada para usahawan untuk membangunkan dan mengembangkan kembali perniagaan mereka, bak kata pepatah daripada Henry Ford, kegagalan ialah peluang untuk bermula semula dengan lebih bijak.

Memasuki tahun 2023, perniagaan kecil dan sederhana dijangka sudah mula menapak dengan lebih yakin serta lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan atau kejadian luar jangka pada tahun ini.

Namun, masih ada kekangan tertentu yang dialami terutamanya oleh para peniaga kecil. Jika anda seorang peniaga kecil, pernahkah anda merasa seperti berikut?

“Kenapa perniagaan milik usahawan lain berjaya dapat bantuan, tapi kita tak dapat ya? Macam mana nak kembangkan perniagaan kalau macam ni! Kenapa pelanggan tak yakin dengan jualan dan perkhidmatan kita?

“Macam mana nak bagi keluarga yakin dengan perniagaan ini untuk diwariskan.”

Persoalan di atas tidak mustahil boleh berlaku lebih-lebih lagi sekiranya anda bukan seorang peniaga yang berdaftar. Jika anda belum mendaftarkan perniagaan, sekaranglah masa yang terbaik untuk mendaftarkan perniagaan anda menjadi sebuah entiti yang sah pada tahun 2023 ini.

Sebagai peniaga yang berdaftar, anda mempunyai lebih banyak peluang dan kelebihan untuk membawa perniagaan anda maju ke hadapan. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka atas sebab-sebab tertentu seperti perniagaan yang dijalankan hanya secara kecil-kecilan, peniaga tidak tahu kewajipan untuk mendaftar perniagaan, dan lokasi pejabat SSM agak jauh dari kediaman peniaga.

Namun, tahukah anda bahawa di bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016, semua perniagaan wajib didaftarkan, sama ada sepenuh masa ataupun separuh masa, dan semua perniagaan yang memperoleh keuntungan juga perlu didaftarkan di SSM. Sebagai seorang usahawan yang menginginkan kelangsungan dan kejayaan dalam perniagaan, anda perlu berusaha untuk menjadikan perniagaan anda sah di sisi undang-undang, dan seterusnya dikenali ramai. Perniagaan anda berpotensi untuk memperoleh pelbagai faedah sekiranya anda mendaftarkan perniagaan.

Berikut merupakan antara kebaikan sekiranya perniagaan didaftarkan:

1) Perniagaan lebih diyakini
• Setiap perniagaan pasti akan melibatkan dana atau modal, sama ada dari segi pinjaman daripada institusi kewangan, daripada pelabur ataupun sumber yang lain. Oleh itu, bagi meyakinkan mereka untuk meluluskan pinjaman atau melabur dalam perniagaan anda, adalah sangat penting untuk menjadikan perniagaan diperakui dan sah kewujudannya di sisi undang-undang. Perkara ini bukan sahaja dapat meyakinkan pelabur, malah pengguna juga akan merasakan hak mereka sebagai pembeli lebih terjamin. Tambahan lagi, dengan mendaftarkan perniagaan, ia menunjukkan bahawa anda adalah usahawan yang berkredibiliti dan komited untuk berniaga. Pada masa yang sama, tindakan ini juga membuatkan para pelanggan berasa lebih yakin untuk berurusan dengan perniagaan yang dijalankan.

2) Memudahkan penyaluran bantuan
• Sekiranya perniagaan didaftarkan secara sah, ia juga akan memudahkan pihak kerajaan untuk mengenal pasti kewujudan perniagaan bagi menyalurkan bantuan, sama ada berbentuk kewangan mahupun latihan, sepertimana yang telah dilaksanakan sewaktu negara berada dalam fasa pandemik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini kerana, perniagaan yang berdaftar layak untuk menerima dan menikmati pelbagai insentif pembiayaan dan latihan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Rakyat, MARA, TEKUN, CGC, SME Corp, PUNB dan lain-lain. Usahawan dan peniaga juga berpeluang menggunakan bantuan yang diberikan untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada ataupun perniagaan baharu.

3) Menjalankan aktiviti perniagaan secara sah
• Apabila perniagaan telah diperakui kewujudannya, pemilik dapat menjalankan aktiviti perniagaan secara sah dan bebas daripada risiko dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara dua (2) tahun. Perkara ini turut memudahkan pemilik untuk memohon lesen premis dan permit termasuk insurans untuk perniagaan mereka. Selain itu, dengan adanya dokumen rasmi seperti sijil perniagaan SSM, ia akan memudahkan pemilik peniagaan untuk membuka akaun bank bagi tujuan perniagaan, lalu memudahkan process permohonan pinjaman bank. Oleh itu, pemilik dapat menjalankan perniagaan tanpa ragu-ragu dan perniagaan akan kelihatan lebih profesional sebagai sebuah entiti perniagaan yang sah. Perniagaan yang didaftarkan juga lebih mudah untuk disemak oleh pelanggan dan agensi-agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini.

4) Perniagaan boleh diwarisi
• Dengan mendaftarkan perniagaan, kesemua aset atau harta, seperti jenama produk atau hasil perniagaan, yang dikumpul sepanjang perniagaan akan lebih mudah untuk diwarisi. Hal ini kerana, kesemua aset atau harta akan diletakkan di bawah nama pemilik perniagaan sekiranya ia telah didaftarkan. Jenama merupakan aset penting untuk sesebuah perniagaan. Sekiranya jenama perniagaan pemilik tidak didaftarkan, ia boleh diguna, diciplak dan ditiru oleh individu atau syarikat lain. Selain itu, ia juga akan menyukarkan proses untuk perniagaan diwariskan kepada pihak ketiga. Jenis-jenis perniagaan yang boleh didaftarkan dengan SSM ialah perniagaan milikan tunggal/perkongsian, syarikat dan perkongsian liabiliti terhad.

Selain daripada berdaftar dengan SSM, usahawan di negeri Sabah dan Sarawak boleh mendaftarkan perniagaan mereka dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Mulakan langkah pertama anda dengan mendaftarkan perniagaan agar menjadi sebuah entiti yang sah. Hentikan alasan, mulakan tindakan! Perniagaan yang dibina bukanlah untuk hari ini sahaja, malah, ia seharusnya menjadi dorongan kepada generasi usahawan yang akan datang. Paling kurang, jadikan nama perniagaan sebagai hak eksklusif anda sebelum terlambat.
Untuk panduan lanjut serta tip dan bantuan, usahawan boleh:
a) Mengikuti video ringkas berkenaan pendaftaran perniagaan di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=Qo-pRixbGXs. Kepada usahawan yang belum mendaftar perniagaan dan merancang untuk mendaftar perniagaan, sila isikan soalan kaji selidik di pautan ini:

https://power.akpk.org.my/RnP/Home/PublicSurvey/91?fbclid=IwAR0ICS_Vzx1U5bjUtj9Q75MD7bjZMXOEUDX43RdreOGObryfniBHf1VbemM.

b) Mengikuti modul AKPK, ‘Daftar Perniagaan Dengan SSM’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk mendaftarkan perniagaan, fungsi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), faedah mendaftarkan perniagaan dan sebagainya. Untuk membuat tempahan bagi mengikuti webinar ini, sila layari https://obs.akpk.org.my/. Anda juga boleh layari power.akpk.org.my untuk mempelajari modul AKPK secara dalam talian.

c) Mendapatkan khidmat nasihat kewangan AKPK secara PERCUMA jika memerlukan panduan pengurusan kewangan dengan melayari tapak web AKPK di www.akpk.org.my dan mengklik tab Khidmat Nasihat Kewangan.

Ambil tindakan yang sewajarnya demi kelangsungan perniagaan anda dan masa depan yang lebih cerah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan