Search
Close this search box.
Penduduk di Flat Seri Aman, membuat pendaftaran dengan sistem Pangkalan Daftar Utama (PADU) ketika Lawatan Mesra Datuk Bandar Petaling Jaya ke Flat Sri Aman & Program Pendaftaran Padu Bersama Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini. Foto Bernama

Jumlah daftar PADU cecah 10.8 juta, sasaran 50 peratus rakyat mendaftar mampu dicapai hari ini

ByBernama

PETALING JAYA, 31 Mac: Menjelang pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) ditutup tengah malam ini, jumlah rakyat yang mendaftar setakat 12 tengah hari ini meningkat kepada 10.8 juta, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata jumlah itu bersamaan 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 21.96 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas dan optimis sasaran 50 peratus rakyat berdaftar dengan sistem PADU mampu dicapai sehingga tengah malam ini.

Beliau berkata sebanyak 1,902 kaunter pendaftaran secara fizikal dibuka sehingga pukul 5 petang di seluruh negara pada program kerajaan, agensi dan peringkat komuniti hari ini.

“Berdasarkan laporan yang kami terima, kebanyakan kaunter secara fizikal yang dibuka hari ini menerima limpahan kedatangan orang ramai yang ingin mendaftar PADU dan ini menunjukkan rakyat menerima baik inisiatif sistem PADU.

“Setakat hari ini, antara negeri tertinggi jumlah pendaftaran PADU ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan telah melepasi sasaran 50 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata demikian dalam sidang media hari ini pada Program Lawatan Mesra Datuk Bandar dan Pendaftaran PADU bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Flat Seri Aman, Seksyen 22, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak sistem PADU dilancarkan pada 2 Jan lepas, sistem berkenaan terus berfungsi tanpa gangguan atau downtime biarpun berdepan aliran trafik pendaftaran yang tinggi.

Beliau berkata antara bukti sistem berkenaan telah dibangunkan dengan baik apabila perkhidmatan pendaftaran serta proses kemas kini maklumat dapat dilakukan dengan lancar.

“Malah seperti yang kita uar-uarkan sebelum ini, sistem ini selamat digunakan dan data yang disimpan dalam sistem PADU juga selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata data yang disimpan dalam sistem PADU akan memudahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat analisis dan bancian bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan selain membantu kerajaan memperkenalkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat.

Menurutnya DOSM memerlukan data yang bersifat dinamik untuk menjalankan analisis dan bagi individu yang tidak mendaftar dengan sistem PADU, DOSM akan menggunakan data asas sedia ada.

Pendaftaran Sistem PADU berakhir tepat 12 tengah malam ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan