Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Foto TVS

DUN Sarawak: Salur bantuan subsidi bersasar daripada Persekutuan dengan data sedia ada

BySalasiah Safian

KUCHING, 7 Mei: Kerajaan Sarawak bersedia untuk menyalurkan bantuan subsidi bersasar daripada Kerajaan Persekutuan mengunakan data sedia ada pada agensi-agensi di Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali kaedah tersebut adalah sama seperti pelaksanaan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Ini adalah penting untuk memastikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi data mereka adalah terlindung. Kerajaan Sarawak melalui agensi-agensi berkaitan termasuk agensi Persekutuan di Sarawak yang akan mengenalpasti mekanisme yang terbaik mengikut penyaluran bantuan bersasar kepada penerima yang layak dalam kalangan rakyat Sarawak untuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang layak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Semuja John Ilus yang bertanyakan mengenai pelaksanaan sistem PADU di Sarawak di Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19 di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau menyedari bahawa kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat adalah berkenaan dengan keselamatan dan integriti data yang disalurkan.

Katanya, kes atau insiden berkaitan jenayah siber berkaitan pelanggaran data telah meningkat.

“Pada tahun 2023, telah mencapai rekod yang tinggi (reach a record high). Jenayah siber meningkat tahun ke tahun terutama berkaitan dengan salahguna data.

“Dengan tiadanya undang-undang yang kukuh, sistem PADU menjadi (rapuh) vulnerable ataupun terdedah seperti yang saya sebut tadi. Jadi kekurangan rangka kerja undang-undang membayangkan bahawa tidak ada jaminan bahawa sistem itu dilindungi sepenuhnya. Penyatuan data semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat perlu dilengkapi dengan keselamatan tahap tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan keselamatan dan protocol PADU bagi memastikan kepentingan data individu terlindung.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) akan terus menyelia dan memantau tadbir urus keselamatan siber serta data bagi sektor awam, swasta dan rakyat Sarawak pada umumnya.

Ini untuk memastikan data dan maklumat semua pihak adalah terlindung.

Kerajaan Sarawak juga akan memastikan maklumat dan data bagi tujuan bantuan bersasar di semua peringkat agensi Sarawak akan mematuhi tadbir urus dan keselamatan siber demi melindungi data peribadi rakyat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan