Search
Close this search box.
Pelakon Ridzuan Hashim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur, tengah hari ini.

Pelakon Ridzuan Hashim meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

ByBernama

KUALA LUMPUR, 4 Mei: Pelakon terkenal tanah air Ridzuan Hashim menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1.57 tengah hari tadi, dipercayai akibat serangan jantung.

Anak saudara Allahyarham, Iman Zulkarnain, 32, ketika ditemui di HKL berkata bapa saudaranya yang berumur 62 tahun itu menghidap masalah jantung sejak tiga tahun lepas.

“Allahyarham rebah secara tiba-tiba semasa sedang bersarapan pagi. Usaha memberi CPR (bantuan pernafasan) juga telah dilakukan oleh anaknya ketika itu sebelum menghubungi ambulans.

“Arwah kemudiannya dikejarkan ke HKL sekitar 1 pagi tadi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah memaklumkan jenazah Allahyarham kini berada di HKL untuk urusan bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Dusun Tua Batu 16, Hulu Langat.

Beliau berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua Hulu Langat selepas Maghrib.

“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan takziah buat ahli keluarga (Allahyarham) dan semoga tabah hadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan.

Ridzuan, yang dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di sini, mendirikan rumah tangga dengan pelakon Didie Alias pada 1991 dan dikurniakan lima orang anak, namun perkahwinan mereka berakhir pada 2002.

Antara filem lakonan beliau adalah Antara Dua Hati yang ditayangkan pada 1988 iaitu filem pertamanya, Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002), SH3 (2004), Qaisy & Laila (2005), 1957: Hati Malaya (2007), Dunia Baru The Movie (2008), selain KL Gangster yang telah menonjolkan bakat lakonannya sebagai ‘King’

Ridzuan juga pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan