Search
Close this search box.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berucap di Malam Warisan Budaya Bangsa: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023 bagi mewakili Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto: Kementerian Perpaduan Negara

YSS berjaya lahirkan lebih 1,600 pemimpin sukarelawan sejak 2012

BySalasiah Safian

KUCHING, 13 Nov: Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjaya melahirkan lebih 1,600 pemimpin sukarelawan sejak penubuhannya pada tahun 2012.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, YSS turut berjaya melaksanakan 53 misi sukarelawan di dalam dan luar negara meliputi Vietnam dan Laos dengan menjalankan lebih 7,000 projek berimpak tinggi.

“Pada tahun ini, dua misi sukarelawan telah dijalankan di Sabah dan Sarawak. Misi ke Sarawak ini melibatkan penyertaan seramai 95 orang sukarelawan siswa termasuk 12 orang alumni bermula pada 3 hingga 16 November 2023 melibatkan enam kawasan iaitu Sungai Maong, Petrajaya; Ng Machan, Kanowit; Daha, Serian; Ba’kelalan, Lawas; Long Laput, Telang Usan; dan Long Kevok, Telang Usan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof bersempena Malam Warisan Budaya Bangsa: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2023, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pelbagai aktiviti dijalankan merangkumi aspek khidmat komuniti, pendidikan, kebudayaan, warisan dan pembangunan usahawan.

Antaranya ialah projek pembinaan tempat letak kereta di SK Daha, Program Literasi Digital dan Keusahawanan di Kampung Daha, Projek Hidroponik di Kampung Sungai Maong, Projek Lampu Solar Jalan di Nanga Machan, Keusahawan Sosial di Long Kevok, Long Laput dan Bakelalan, dan Projek Fasiliti Awam di Nanga Machan.

Jelasnya, Program yang berkonsepkan ‘immersion’ dan ‘right volunteers for the right job’ ini dilihat sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia MADANI yang menerapkan elemen ‘ihsan’ serta menjadikan warisan sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, KPN melalui YSS juga memainkan peranan penting dalam membawa agenda perpaduan melalui aktiviti kesukarelawanan.

Tema ‘Perpaduan Melalui Kesukarelawanan’ telah dipilih sebagai gagasan utama YSS untuk membangunkan sukarelawan mahasiswa yang mampu menjayakan agenda perpaduan negara.

Sehubungan itu, KPN akan mengiktiraf kesemua alumni YSS sebagai Duta Perpaduan Negara.

“Ini adalah sebuah usaha untuk menggalakkan penglibatan mereka dalam memimpin projek komuniti sekali gus memupuk semangat kepelbagaian dan perpaduan dalam komuniti.

“Sehubungan dengan itu, kementerian turut berpandangan bahawa perlunya sebuah dasar khusus bagi pembangunan sukarelawan di Malaysia. Oleh itu, kementerian akan mengkaji keperluan untuk menggubal Dasar Kesukarelawan Nasional yang akan memayungi pembangunan bakat, potensi dan penyediaan platform aktiviti kesurelawan di negara ini,” ujarnya.

Baru-baru YSS ini berjaya melaksanakan Persidangan Kesukarelawan Antarabangsa yang melibatkan sebanyak 51 negara di Kuala Lumpur.

Rentetan daripada itu, kementerian melalui YSS akan menganjurkan Konvesyen Sukarelawan Nasional pada tahun depan yang akan melibatkan semua badan-badan kesukarelawanan seperti MyCorp, Rakan Muda, Impact Malaysia, Jiran Muda KRT, Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (Satria) dan lain-lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan