Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof Foto: Teo Chi Wei (TVS)

Cadang jadikan rumah ibadat sebagai pusat mengumpul minyak masak terpakai – Fadillah

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 25 Nov: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Petronas mencadangkan pusat-pusat ibadat seperti surau, masjid dan rumah ibadat lain sebagai tempat bagi melaksanakan inisiatif mengumpul minyak masak terpakai di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini di Sarawak, pusat pengumpulan bagi program pengumpulan minyak masak terpakai di negeri ini dilaksanakan di stesen Petronas Astana, Kuching dan Petronas Desa Senadin, Miri.

Rumah ibadat sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai.

“Sudah pasti dengan pembelian dengan harga RM2.50 sekilogram (kg), ia merupakan punca pendapatan tambahan kepada masyarakat kita.

“Tetapi kalau ada orang yang mungkin sukar hendak menghantar (ke Petronas), jadi sebab itu saya mencadangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) surau, masjid atau rumah ibadat lain untuk menubuhkan jawatankuasa bagi mewujudkan pusat pengumpulan minyak masak terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Petra Jaya, sempena Trek Komoditi Zon Sarawak anjuran KPK di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, masyarakat setempat juga akan menerima pelbagai manfaat di mana pelbagai program yang boleh memberi kebaikan kepada masyarakat dapat diwujudkan melalui pendekatan berkenaan.

“Sebagai contoh, ada kawasan yang sukar untuk mendapat makanan, jadi mereka boleh laksanakan program beg makanan dengan menyediakan makanan, beras dan sebagainya di situ.

“Oleh itu, orang yang susah boleh mengambil makanan tersebut di pusat pengumpulan makanan dan mereka (JKKK) dapat membantu balik masyarakat,” katanya.

Sementara itu, KPK turut menyasarkan jumlah pengumpulan sebanyak 90,000 kg bagi minyak masak terpakai dan penyertaan seramai 6,960 orang awam
sehingga akhir bulan Disember tahun ini dalam program tersebut.

Terdahulu, KPK dengan kerjasama Petronas melaksanakan inisiatif mengumpul minyak masak terpakai di stesen Petronas untuk dijadikan satu sumber bahan mentah utama bagi menghasilkan bio bahan api penerbangan lestari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan