Search
Close this search box.
President of the Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal. Photo TVS.

[EKSKLUSIF] Yang di-Pertua Dewan Negara mahu hapus imej ‘rubber stamp’ Dewan Negara, perkasa perbahasan senator

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 16 Mac: Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal menegaskan komitmennya untuk membersihkan imej Dewan Negara yang didakwa sebagai ‘pak turut’ atau ‘rubber stamp’ yang akan meluluskan semua rang undang-undang.

Mutang yang menjawat jawatan itu sejak 19 Februari lalu optimis mengikis persepsi berkenaan sambil menyifatkan gelaran itu bersifat negatif dan tidak benar sama sekali.

Kikis imej ‘rubber stamp’, perkasa kualiti perbahasan senator | TVS

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu mahu menggunakan peluangnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara untuk menambah baik kualiti perbahasan kesemua senator.

“Ramai orang beranggapan bahawa Dewan Negara adalah ‘rubber stamp’ kerajaan, Sebenarnya, dalam mana-mana demokrasi berparlimen, pembahagian kuasa adalah antara eksekutif, legislatif dan perundangan, kita mempunyai kuasa yang berasingan.

“Kita inginkan kebebasan ketiga-tiga badan itu dicapai. Selain itu, saya mahukan senator lebih aktif dalam perbahasan dan kemungkinan selepas ini kita akan belajar dari Dewan Negara lain mengenai amalan terbaik yang dapat dipraktikkan untuk kebaikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVS selepas membuat kunjungan ke bilik berita stesen televisyen milik Kerajaan Sarawak itu di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mutang menaruh harapan yang tinggi terhadap kesemua senator dari Sarawak mempamerian komitmen dan kualiti perbahasan yang baik di sepanjang persidangan Dewan Negara.

“Saya berharap mereka akan berbahas mengenai perkara yang baik, bukan sahaja bagi Sarawak, tetapi untuk negara juga.

“Mereka harus memanfaatkan platform (Dewan Negara) itu dengan mengeluarkan buah fikiran yang bernas dan baik untuk Sarawak bagi mengekalkan keharmonian yang dikecapi Malaysia selama ini,” ujarnya

Untuk rekod, Dewan Negara merupakan salah satu dewan dalam parlimen bertujuan mengkaji semula dan meluluskan RUU yang dibawa oleh Dewan Rakyat sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Jaga tingkah laku, hormati persidangan Dewan Rakyat

Sementara itu, Mutang mahu ahli parlimen menjaga kualiti perbahasan dengan memberi keutamaan kepada rakyat dan negara di sepanjang persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan sebagai ahli parlimen yang mewakili rakyat, mereka seharusnya menunjukkan sikap profesional mencerminkan negara.

Membuat perbandingan dulu dan kini, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dari tahun 1982 hingga 1990 itu menyifatkan persidangan Dewan Rakyat kini lebih agresif.

“Pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, mereka (ahli parlimen) perlu menumpukan perhatian dalam perbahasan RUU yang baik untuk rakyat dan negara.

“Jangan langgar peraturan mesyuarat dan jangan sesekali memburukkan satu sama lain. Mereka harus mencerminkan keperibadian sebagai seorang ahli parlimen,” tegasnya.

Katanya, segala perdebatan dan tindak-tanduk yang ditunjukkan disiar secara langsung yang sekali gus boleh memberi persepsi tidak baik kepada umum khususnya kepada golongan muda.

Sehubungan itu, beliau berharap ahli parlimen akan lebih matang dan boleh menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

“Setiap ahli parlimen perlu mengawal emosi mereka, jangan lakukan provokasi dan kalau mahu mengajukan soalan kepada menteri atau bahas RUU, mereka perlu bersikap profesional.

“Mereka harus fikirkan mengenai tingkah laku dan perwatakan yang dilihat oleh masyarakat,” jelasnya.

Untuk rekod, Mutang dilantik sebagai yang di-Pertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Februari lepas bagi menggantikan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatannya dan kemudian dilantik sebagai yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-8. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan