Search
Close this search box.
Senator Dewan Rakyat, Pele Peter Tinggom berkata, sudah tiba masanya untuk Kerajaan Perpaduan yang disokong oleh Sarawak dan Sabah segera melakukan persempadanan semula kerusi Parlimen. Foto, Bernama dan TVS.

Dewan Negara: Sekarang masanya lakukan persempadanan semula tambah kerusi parlimen Sabah, Sarawak

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Senator Dewan Negara, Pele Peter Tinggom berkata, sudah tiba masanya bagi Kerajaan Perpaduan yang disokong oleh Sarawak dan Sabah dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat segera melakukan persempadanan semula kerusi parlimen.

Kata beliau, ini bagi membetulkan ‘apa yang sepatutnya’ untuk kemakmuran yang seimbang seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambah Pele Peter, pembahagian kerusi parlimen kepada Sarawak dan Sabah penting kerana akan merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui peruntukan yang diberikan kepada kawasan tersebut.

“(Selain itu) jentera pentadbiran dan pelaksanaan bagi agenda-agenda pembangunan kerajaan di kawasan parlimen tersebut lebih teratur dan fokus.

“Bayangkan kawasan Parlimen Baram seluas Negeri Pahang, begitu juga dengan Parlimen Hulu Rajang yang seakan sama besar dengan Pahang.

“Sekiranya kawasan parlimen ini dan parlimen yang lain yang sama besar seperti Saratok dipecah dan ditambah, pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang dirancang akan sampai ke pintu rumah rakyat di kawasan tersebut lebih cepat berbanding ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Junjung Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Asas kepada hujahnya, Pele Peter turut menerangkan kepada sidang dewan berkaitan undang – undang yang ‘mewajibkan’ penambahan kerusi parlimen kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau memetik Perkara 161E (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, ‘Tiada pindaan kepada Perlembagaan ini yang menyentuh perjalanan kuat kuasanya berkenaan dengan kuota ahli Dewan Rakyat yang diperuntukan kepada Sabah atau Sarawak yang boleh dikira bagi maksud Fasal (1) sebagai menyamakan atau mengasilimasikan kedudukan negeri itu dengan kedudukan Negeri-Negeri di Tanah Melayu”.

” (Ini) bermaksud pada 1963, kerusi parlimen yang diperuntukan kepada Sarawak, Sabah termasuk Singapura adalah 34.59 peratus dengan menyamakan peruntukan kerusi yang kecil jumlahnya bagi setiap Negeri-Negeri di Tanah Melayu mengikut kepadatan penduduk berbanding dengan kerusi yang diperuntukkan kepada Sarawak dan Sabah iaitu 40 kerusi mengikut keluasan perlu diperbetulkan,” katanya.

Tambah beliau, inspirasi pemimpin Sarawak pada masa itu supaya kuota kerusi ahli Dewan Rakyat bagi Sarawak dan Sabah termasuk Singapura tidak kurang daripada satu pertiga adalah satu persefahaman yang penting bagi penubuhan Malaysia.

“Oleh sebab itu, (menerusi) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), MA63 dan Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan dengan izin perkara-perkara yang berkaitan kuota ahli Dewan Rakyat bagi Wilayah Sarawak dan Sabah tidak boleh disamakan dengan Negeri-negeri Tanah Melayu dan apa-apa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kuota kerusi Dewan Rakyat harus mendapat persetujuan kedua-dua Wilayah Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau seterusnya turut berkongsi sejarah bilangan kerusi parlimen pada 1963 dengan komposisi Johor sebanyak 16 kerusi, Kedah (12) Kelantan (10) Melaka (empat), Negeri Sembilan (enam), Pahang (enam), Pulau Pinang (lapan), Perak (20 kerusi), Perlis (dua) Selangor (14), Terengganu (enam) manakala Sarawak dan Sabah dengan 40 kerusi.

“Sejak persempadanan semula dibuat pada 1974, jumlah kerusi Dewan Rakyat telah berubah dan tidak seperti komposisi yang dipersetujui semasa penubuhan Malaysia pada 1963 di mana kerusi parlimen yang diperuntukan kepada wilayah-wilayah selain daripada Negeri-negeri Tanah Melayu sepatutnya tidak kurang daripada 34.59 peratus daripada semua kerusi parlimen,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan