Search
Close this search box.
Pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berbuka puasa di atas kapal Maritim Marlin. Foto Handy Gui (TVS)

Ramadan dirai di samudera biru, amanah negara tersemat dalam jiwa

KUCHING, 26 Mac: Berpanas, berhujan serta dihempas gelora bukan alasan untuk tidak membelah samudera demi mempertahankan kedaulatan negara.

Semua itu adalah asam garam bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan tugas menjaga perairan negara tetap diteruskan saban hari biarpun pada bulan Ramadan.

Ramadan dirai di samudera biru.

Bagi Laskar Kelas I Teknikal Maritim Muhammad Razif Morni, kedatangan Ramadan tidak melunturkan semangatnya, walaupun menjalani ibadah puasa di tengah lautan.

Beliau yang sudah berkhidmat dengan APMM selama lima tahun menyatakan bahawa tiada istilah keluh-kesah dalam diri setiap anggota APMM demi memastikan Malaysia kekal selamat dan aman.

”Bekerja di KM Marlin sepanjang Ramadan memberikan cabaran yang unik, merentas batas emosi dan fizikal. Dari segi emosi, rasa rindu terhadap keluarga semasa waktu berbuka puasa dan sahur terasa sangat mendalam.

“Ada kesedihan semasa berbuka puasa kerana jauh dari orang tersayang, merindui kehangatan dan kebersamaan saat makan bersama keluarga,” katanya kepada TVS, baru-baru ini.

Baru-baru ini, wartawan TVS berpeluang merasai pengalaman berbuka puasa di atas KM Marlin bersama lebih 30 pegawai dan anggota APMM Maritim Sarawak.

Menurutnya, ujian itu sebegini sudah pasti bertambah sukar apabila menempuh ombak ganas hingga menyebabkan mabuk laut.

Namun, setelah berkhidmat di KM Marlin selama lima tahun dan menghabiskan lima Ramadan di laut, kerja tetap harus dilaksanakan meskipun berpuasa.

Sementara itu, Leftenan Komander Maritim Mohd Khair Baharom berkata semua anak kapalnya tetap komited menunaikan tanggungjawab menjaga perairan negara sambil berpuasa walaupun berada di bawah terik cahaya matahari dan cuaca tidak menentu.

Malah, rutin di atas kapal tidak menjadi halangan kepadanya dan rakan setugas untuk beribadat pada Ramadan.

“Pada bulan Ramadan, meskipun kami menjalani puasa di siang hari, semangat kami, khususnya di KM Marlin, untuk melanjutkan operasi di Laut China Selatan begitu kuat.

“Selama saya memimpin kapal maritim ini, saya bersyukur diberikan kru yang gagah, baik dan berkolaborasi dengan saya secara tidak langsung, sehingga operasi di laut dapat berjalan lancar.

“Prinsip dasar operasional kami bukan hanya berada di sekitar perairan tertentu saja, malah kami akan belayar sejauh Beting Patinggi Ali jika diperlukan,” katanya.

Ulasan berkenaan cabaran yang perlu dilalui sepanjang berada di laut lebih menarik apabila TVS berpeluang menemu bual serikandi APMM, Leftenan Muda Maritim Brigitte Berry.

Menurut Brigitte sebagai seorang wanita, beliau berdepan situasi dan perasaan serupa namun ia sedikit berbeza.

“Perairan terbuka meliputi wilayah yang luas dan sebagai pakar dalam industri maritim, kami mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaganya. Ini bermakna kami sering berinteraksi dengan pelbagai jenis kapal, kerana tugas kami adalah untuk memastikan keselamatan perairan dan mengatasi pelbagai cabaran yang mungkin timbul.

“Bagi saya, sebagai seorang wanita, terlibat dalam industri ini membawa risiko tersendiri. Tidak ramai wanita yang memilih kerjaya dalam bidang maritim.

“Bagaimanapun, saya memilih untuk keluar dari keselesaan saya dan mengambil peluang untuk memberi sumbangan di lautan bukan di dalam pejabat. Bagi saya, setiap peluang untuk bersama kru kapal dan merasai kebebasan pelayaran adalah sesuatu yang berharga,” jelasnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan