Search
Close this search box.
Formula S.A.H.U.R. akan dapat membimbing anda dalam membuat keputusan bajet tiga serangkai yang bijak dan berhemah.

‘Bajet madu tiga’, AKPK kongsi tips perbelanjaan peristiwa tiga serangkai 2024

ByTVS

TANGGAL 12 Mac 2024, seluruh umat Islam kembali bertemu bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Uniknya tahun ini, Ramadan bermula selang sehari atau dua selepas pembukaan tahun baru persekolahan 2024. Sebulan selepas itu, umat Islam akan menyambut hari kemenangan, iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Di sana sini, tidak kira di pusat-pusat membeli belah, suasana meriah promosi jualan pakaian dan kuih muih hari raya telah mula kelihatan. Tidak kurang juga promosi berbuka puasa di restoran dan hotel-hotel di seluruh negara. Itu belum lagi bazar-bazar Ramadan yang dibuka di merata pelosok kawasan menjual pelbagai aneka makanan dan minuman yang tidak terhingga banyaknya.

Melihat kepada pertembungan perbelanjaan tiga serangkai yang meliputi musim awal musim persekolahan, seterusnya menyambut Ramadan sehinggalah ke Syawal yang bakal diraikan sebulan berikutnya, ketiga-tiga senario ini sudah pastinya memerlukan pengurusan kewangan yang lebih teliti supaya sumber kewangan yang ada dapat diuruskan dengan baik serta mengikut prinsip keutamaan dalam Islam.

Persoalannya, bagaimana kita merancang dan melaksanakan bajet kewangan secara berkesan untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan pendidikan anak-anak, persiapan juadah berbuka sepanjang Ramadan, dan persediaan menyambut Aidilfitri?

Formula S.A.H.U.R. akan dapat membimbing anda dalam membuat keputusan bajet tiga serangkai yang bijak dan berhemah seperti berikut:

Susun Keutamaan Perbelanjaan

Berpandukan prinsip keutamaan dalam Islam, sebaik-baiknya ketiga-tiga bajet perbelanjaan ini disusun mengikut penilaian yang jujur dan teliti antara keperluan dan kehendak. Gunakan fikiran rasional kita untuk mendahulukan keperluan berbanding dengan perasaan emosional yang mengutamakan kehendak.

Contohnya, anda pastinya akan mementingkan dan mendahulukan perbelanjaan persekolahan anak-anak kerana ia adalah keperluan utama bajet isi rumah pada ketika ini.

Pada masa yang sama, sudah menjadi tradisi setiap kali Ramadan, semua orang akan dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa untuk persediaan berbuka puasa. Begitu banyak jualan sehinggakan kebanyakan kita berbelanja berlebihan tanpa sedar sehingga mengakibatkan pembaziran. Di situlah faktor berbelanja ke arah kehendak melebihi keperluan itu terbukti. Di sini juga titik mulanya kejayaan atau kegagalan dalam pengurusan kewangan itu diukur melalui penilaian rasional mengatasi penilaian emosi kita.

Adakan Perbincangan Harmoni Keluarga

Satu lagi elemen yang mempengaruhi kejayaan dalam pengurusan kewangan ialah kebersamaan. Sebagai manusia, kita mudah terdorong oleh keadaan sekeliling atau kebiasaan setempat. Tidak hairanlah kalau skrip sebegini biasa kita dengar dalam masyarakat, “Orang beli perabot baru, kita pun nak beli perabot baru.”

Oleh itu, satu kaedah untuk mengekalkan disiplin perbelanjaan yang sihat dalam keluarga ialah perbincangan bersama tentang apa yang patut dibelanjakan. Dengan persefahaman dalam keluarga tentang hala tuju perbelanjaan, tidak adalah sketsa anak-anak meminta itu dan ini yang akhirnya dilayankan juga sehingga terlebih berbelanja semasa shopping raya termasuklah permintaan untuk dibelikan bunga api dan mercun.

Hadkan Perbelanjaan

Setelah jelas perbelanjaan apa yang patut didahulukan sebagai satu keluarga yang bersefahaman, langkah seterusnya adalah mengehadkan setiap pebelanjaan mengikut bajet yang realistik untuk persekolahan seperti pembelian alatan, pakaian seragam, dan kelengkapan lain, tidak termasuk perbelanjaan wajib seperti yuran. Tetapkan juga had perbelanjaan untuk juadah berbuka, lebih-lebih lagi pembelian di bazar Ramadan serta rancangan berbuka mahupun bersahur di luar. Begitu juga dengan perbelanjaan hari raya, hadkan peruntukan untuk baju raya, juadah dan kuihmuih, serta dekorasi rumah dan duit raya.

Tujuan mengehadkan perbelanjaan-perbelanjaan ini adalah untuk memastikan perbelanjaan dan komitmen tetap setiap bulan tidak terjejas seperti bil-bil utiliti dan bayaran ansuran bulanan.

Urus Hutang

Musim perayaan amat sinonim dengan musim meminjam. Apatah lagi bila melalui pertembungan peristiwa tiga serangkai ini. Apa tidaknya, permohonan pinjaman dikatakan meningkat dengan ketara pada Januari 2024, iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut penganalisis, terdapat kemungkinan keperluan modal bagi menyambut musim perayaan yang bakal tiba mendorong peminjam yang berpotensi membuat pinjaman.

Perlu diketahui, antara amalan pengurusan kewangan yang bijak untuk musim perayaan adalah mengelak daripada membuat hutang baru. Prinsipnya mudah, kepuasan jangka pendek tidak seharusnya didanai oleh hutang yang akan melibatkan komitmen kewangan jangka panjang. Kalau pun perlu berhutang, pastikan hutang baru ini (contoh, kad kredit) boleh dibayar semuanya sebelum tarikh akhir, atau (contoh, pinjaman peribadi, sewa beli) tidak menaikkan jumlah ansuran bulanan anda melebihi 40 peratus daripada gaji atau pendapatan bersih.

Rancang Perbelanjaan

Akhir sekali ialah masa untuk menjadi tamu di kedai-kedai, arked-arked dan pusat-pusat membeli belah (termasuk platform membeli belah dalam talian) untuk ‘berburu’.

Di sinilah, ‘keimanan’ kita akan diuji (jangan terpesong daripada pelan perbelanjaan) termasuk kecekapan kita mencari tawaran harga dan pilihan yang terbaik.

Amalkan perbelanjaan yang bijak seperti membuat perbandingan harga di beberapa tempat, dan membeli atau menempah barangan atau tempahan (seperti baju raya) lebih awal atau mengambil peluang waktu promosi untuk harga yang lebih murah. Gunakan juga sebarang insentif dan bantuan seperti bantuan awal persekolahan yang telah diberikan oleh Kerajaan (RM150 setiap pelajar) dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran dan persekolahan.

Selain itu, kita juga perlu bijak merancang perjalanan untuk menjimatkan kos. Susun jadual perjalanan balik kampung bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pastikan juga kenderaan diselengara dengan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kos tambahan membaik pulih kenderaan. Manfaatkan juga waktu perjalanan dengan tol percuma yang kebiasaanya diumumkan Kerajaan semasa sambutan perayaan-perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tip Tambahan

Pendekatan lain untuk menampung perbelanjaan adalah menambah sumber kewangan sedia ada. Anda boleh mencari pendapatan tambahan sebelum tiba musim perayaan dengan menjual barangan terpakai, menyediakan perkhidmatan atau mencari pekerjaan sambilan. Anda boleh menjadi ejen menjual biskut dan pakaian raya (permulaan untuk peluang perniagaan pada masa hadapan)

Di samping itu, ambil juga boleh cuba menghantar borang taksiran cukai pendapatan lebih awal. Sekiranya terdapat wang cukai yang terlebih bayar, ia boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan tambahan persekolahan anak-anak serta bulan Ramadan dan Syawal.

Namun, harus diingat bahawa ini hanyalah langkah tambahan. Pastikan perbelanjaan dirancang berdasarkan sumber pendapatan sedia ada dan bukan pendapatan tambahan yang belum tentu. Dengan mengamalkan lima langkah S.A.H.U.R. yang telah diterangkan, anda bukan sahaja dapat mencapai kejernihan dan ketenangan minda bagi menentukan hala tuju perbelanjaan yang betul, anda juga dapat berjimat sehingga ada lebihan wang dan bukan defisit di akhir musim perayaan.

Ini satu bonus untuk anda (termasuk apa-apa pendapatan tambahan yang mampu dijana). Ingatlah, sepertimana juga bersahur, pengurusan kewangan yang betul boleh terasa liat untuk diamalkan, namun manfaatnya tidak tersangkal. Pilihan di tangan anda.

Artikel tulisan Jabatan Komunikasi Korporat, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan