Search
Close this search box.
Pertandingan bertuntong iaitu menghiasi halaman rumah dengan pelita minyak tanah atau lampu perhiasan elektrik menjelang Hari Raya Aidilfitri merupakan tradisi istimewa di Sarawak. Foto, Bernama.

Tradisi bertuntong eratkan silaturahim penduduk Sarawak

ByIzzah Kamilah Yunus

KOTA SAMARAHAN, 8 April: Pertandingan bertuntong iaitu menghiasi halaman rumah dengan pelita minyak tanah atau lampu perhiasan elektrik menjelang Hari Raya Aidilfitri merupakan tradisi istimewa di Sarawak.

Turut tidak terkecuali memeriahkan suasana dengan melakukan tradisi ini ialah penduduk Kampung Sebandi Ulu, Asajaya.

Lebih sekadar menceriakan kediaman masing – masing ketika menanti kehadiran 1 Syawal, bertuntong juga menjadi medan mengukuhkan hubungan silaturahim sesama penduduk.

Ketua kampung, Jama Rahmah berkata, penyatuan dilihat lebih ketara apabila berlaku penggabungan blok di kampung tersebut.

“Sebelum ini penyertaan pertandingan bertuntong di kampung ini melibatkan penyertaan sebanyak 13 blok dan setiap blok merangkumi 14 buah rumah.

Bertuntong, akar perpaduan masyarakat.

“Namun saya lihat hanya sebilangan kecil sahaja penduduk yang mengambil bahagian.

“Sekarang kampung ini sudah digabungkan menjadi lapan blok sahaja dan selepas itu, pertandingan dilihat berkesan apabila saya mendapati penduduk mula bekerjasama, bertegur sapa serta bergotong – royong,” katanya ketika ditemui TVS semalam.

Sementara itu Ketua Ranting Blok 2 Kampung Sebandi Ulu, Tegak Mat berkata, tradisi bertuntong juga memupuk semangat saling membantu sesama penduduk.

“Peruntukan kecil yang disalurkan bagi setiap blok untuk menjayakan bertuntong ini menyebabkan penduduk dengan rela hati mengumpul dana untuk membeli peralatan bagi mengindahkan lagi halaman rumah,”  katanya.

Tambah Tegak, kepenatan yang dirasai mereka ketika bergotong – royong berbaloi apabila melihat hasil kerja masing – masing.

Ketua Blok 8 Kampung Sebandi Ulu, Asajaya Tahir Ismail ketika ditemui TVS semalam. Kredit: Zaim Zharfan (TVS)

Pemimpin Blok 8 Kampung Sebandi Ulu, Tahir Ismail turut meluahkan rasa bangga apabila melihat penduduk di bloknya bekerjasama untuk menjayakan acara itu.

“Ukhuwah di Blok 8 amat kuat, contohnya pada Ahad, mereka akan gotong-royong selepas solat Subuh.

“Ada juga yang membahagikan tugas seperti menggantung lampu perhiasan dan sebagainya,” katanya.

Bagi Elisya Md Jafri, 19, yang datang dari keluarga campuran Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tradisi bertuntong memberikan pengalaman baharu kepadanya.

“Kali pertama berada di sini, saya berasa teruja kerana tradisi ini tiada di Semenanjung Malaysia.

“Ini membuatkan saya ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri lagi di kampung ini pada masa akan datang,” katanya.

Elisa berkata, dia juga ingin menyertai pertandingan bertuntong di kampung ini pada masa akan datang kerana jatuh cinta melihat keharmonian dan keindahan di kampung itu. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan