Search
Close this search box.
Pengiran Bala (kiri), Fazzruddin Abdul Rahman (tengah) dan Abdul Jalil Ramli (kanan) sifatkan idea penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo meningkatkan mutu serta merancakkan industri sukan bola sepak di Borneo. Foto TVS

Penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo rancakkan industri sukan di Borneo

ByMuqri Aziz

KUCHING, 30 April: Idea penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo oleh persatuan-persatuan bola sepak di Kepulauan Borneo merupakan perkembangan positif serta berpotensi menjadi platform baharu pembangunan bola sepak di rantau ini khususnya Sarawak.

Jurulatih pembangunan di Sarawak Sports Centre (SSC) Pengiran Bala berkata, jika gagasan itu berjaya ditubuhkan dan mahu mengadakan kejohanan bola sepak di Kepulauan Borneo, ia menjadi satu pilihan yang terbaik buat kelab bola sepak di sini.

“Ini kerana faktor kos yang lebih murah jika dibandingkan dengan pertandingan peringkat nasional dan lebih banyak peluang buat pemain, jurulatih dan pengadil tempatan untuk mengembangkan bakat mereka.

“Bukan itu sahaja, perkongsian pengetahuan akan mewujudkan pemahaman yang lebih baik dengan negara lain terutama Indonesia yang menunjukkan peningkatan mendadak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, bekas kapten pasukan Sarawak, Abdul Jalil Ramli menganggap penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo dapat meningkatkan lagi kemampuan pemain-pemain dan pasukan dari Kepulauan Borneo.

“Pertandingan peringkat Borneo mungkin boleh dijalankan secara karnival sebagai permulaan jika ianya dapat direalisasikan namun ia masih perlu dilihat dan diteliti dari segi perundangan kerana khuatir jika ada percanggahan dengan organisasi yang terlibat,” katanya.

Mereka berkata demikian menerusi hantaran di Facebook yang dikongsikan FA of Sarawak mengenai cadangan penubuhan Gagasan Bola Sepak Borneo hari ini.

Sementara itu Presiden Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, fokus dan tujuan penubuhannya perlu jelas untuk memastikan objektif utama penubuhan gagasan tersebut tercapai.

“Jika mereka menubuhkan satu lagi gagasan, maksudnya ia akan merangkumi kesemua persatuan bola sepak itu dan sudah tentu dengan kerjasama yang erat contohnya pertukaran jurulatih dan pertukaran program-program bola sepak.

“Saya amat yakin jika aktiviti ini merupakan fokus utama gagasan ini ditubuhkan, maka sudah pasti ia akan membangunkan sukan bola sepak,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan penubuhan gagasan bola sepak itu.

Sabtu lalu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FA Sarawak), Persatuan Bola Sepak Sabah (FA Sabah), Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei (FA Brunei) dan wakil-wakil persatuan bola sepak dari Kalimantan Barat (KALBAR) ketika mengadakan mesyuarat pertama di Kuching telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan sebuah gagasan bola sepak di rantau ini iaitu Gagasan Bola Sepak Borneo.

Persatuan bola sepak Kepulauan Borneo mahu bentuk Gagasan Bola Sepak Borneo

Kata FA Sarawak, gagasan itu akan dianggotai oleh kesemua persatuan-persatuan bola sepak di Borneo termasuk Persatuan Bola Sepak Labuan (Labuan FA) dan Kalimantan jika usul penubuhan itu diluluskan dan seterusnya melantik FA Sarawak menjadi sektretariat sementara bagi pendaftaran gagasan bola sepak itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan