Search
Close this search box.
Rumah Panjang Nanga Engkuah, Ulu Katibas Song dipilih sebagai Kampung Angkat Madani. Foto TVS

Rumah Panjang Nanga Engkuah Ulu Katibas dipilih jadi Kampung Angkat Madani

ByFebbright James

KAPIT, 13 Mei: Terletak  50 kilometer dari pasar Song dan tiga jam perjalanan menggunakan perahu, Rumah Panjang Nanga Engkuah Ulu Katibas, Song Kapit telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani oleh Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan ketiadaan akses jalan penghubung dan populasi penduduk yang ramai menjadi faktor pemilihan rumah panjang tersebut untuk program ini.

Tebingan Rumah Panjang Nanga Engkuah yang menjadi tempat persinggahan perahu. Perahu merupakan pengangkutan utama ke perkampungan ini. Foto Febbright James (TVS)

Menurut beliau, Nanga Engkuah merupakan lokasi pilihan yang tepat memandangkan lebih 658 orang penduduk dari tiga buah kampung berdekatan akan mendapat manfaat daripada projek yang akan dilaksanakan di bawah Program Kampung Angkat Madani.

“Dalam program ini saya telah dimaklumkan bahawa skop projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan infrastruktur merangkumi naik taraf jalan dan jambatan. Jambatan sedia ada telah usang dan harus dibina semula.

“Selain itu, turut akan didirikan ialah lampu solar di sekitar kampung terutamanya jalan utama untuk menerangi kawasan rumah panjang ini. Ini sangat penting. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kita peluang memilih kawasan ini sebab tidak semua tempat berpeluang untuk projek ini,” katanya.

Jambatan yang menghubungkan Rumah Panjang Nanga Engkuah dengan Rumah Panjang Sesibau akan dibaiki/dibina semula melalui program ini. Foto Febbright James (TVS)

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan Siri Jelajah ke Rumah Panjang Nanga Engkuah yang turut disertai rombongan media dari Semenanjung dan Sarawak bersempena dengan pelancaran program Kampung Angkat Madani di sana .

Nanta memaklumkan tujuan beliau dan warga Kementerian Kerja Raya membawa rombongan media adalah bertepatan dengan penganjuran HAWANA apabila Sarawak sebagai tuan rumah agar pengamal media merasai sendiri pengalaman di kawasan pedalaman dan mempromosi keunikan kawasan yang ada di Malaysia.

Melalui jelajah bersama media ini adalah idea kreatif yang dapat memberikan pendedahan kepada media terutama media yang berpangkalan di Semenanjung untuk melihat dan merasakan sendiri arus pembangunan di kawasan pedalaman.

Ahli Parlimen Kapit merangkap Menteri Kerja Raya mengadakan jelajah ke Rumah Panjang Nanga Engkuah bersama-sama dengan rombongan media. Foto Febbright James (TVS)

“Perkampungan Rumah Panjang Nanga Engkuah ini telah mendapat kelulusan peruntukkan sebanyak RM2.5 juta oleh Kementerian Kewangan (MOF) untuk tujuan Kampung Angkat Madani KKR ini.

Sekiranya memerlukan peruntukan tambahan, kita akan cari dari sumber yang lain kelak.

“Tempoh pelaksanaan projek ialah mungkin satu tahun kerana saya difahamkan pada dua minggu lagi projek yang telah dikenal pasti akan ditender kepada kontraktor pelaksana. Saya berharap ini akan memberi impak yang baik kepada penduduk terutamanya dalam memacu pembangunan sosioekonomi kerana kawasan ini berdekatan dengan sekolah dan klinik,” ujarnya.

Kawasan pekarangan rumah panjang ini akan diterangi lampu solar yang bakal disediakan melalui Program Kampung Angkat Madani. Foto Febbright James (TVS)

Selain projek di bawah Program Kampung Angkat Madani ini, dalam ucapannya pada Majlis tersebut Nanta turut memaklumkan projek pembangunan sampingan yang akan dilaksanakan di perkampungan tersebut termasuk bantuan dari segi sumber kewangan.

“Saya dan Lidam Assan (ADUN Katibas) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 untuk satu isi rumah kepada tiga buah kampung disini bagi membantu mereka menampung keperluan.

“Selain itu, kita juga akan menggunakan sepenuhnya stesen pertanian yang telah dibina oleh kerajaan negeri di perkampungan ini iaitu dengan membina kolam ikan plastik. Meskipun kita tahu Katibas ada sungai yang besar dan banyak ikan tetapi untuk tujuan komersial kita memerlukan projek ini,” katanya.

PENDUDUK TERUJA

Kulim Madah, Assan Munan dan Margaret Kaya ketika ditemui TVS baru-baru ini. Foto Febbright James (TVS)

Sementara itu, penduduk meluahkan rasa teruja apabila kampung mereka dipilih sebagai Kampung Angkat Madani.

Assan Munan, 68, merupakan Tuai Rumah Nanga Engkuah berterima kasih di atas usaha menbangunkan kampungnya.

“Saya berasa senang hari dengan projek yang bernilai tinggi di kampung ini. Projek lampu solar, jalan dan jambatan yang menghubungkan ketiga-tiga rumah panjang ini sangat berguna kepada kami.

Dalam pada itu, penduduk kampung, Kulim Madah, 38, meluahkan rasa syukur dan berharap projek di bawah program tersebut dapat berjaya dilaksanakan.

“Saya berasa bangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih kampung kami. Saya berharap agar kemudahan seperti jalan dan telekomunikasi dapat dinaik taraf. Sebab kampung kami ini berpotensi dibangunkan kerana keunikannya kerana kawasan ini terkenal dengan ikan empurau yang disebut sebagai paling mahal di pasaran.

“Sekarang ini memang sepenuhnya kami menggunakan perahu sebagai pengangkutan iaitu kira-kira tiga jam dari Pasar Song. Keadaan sungai kadang-kadang bahaya kerana banyak jeram dan kos pengangkutan atau tambang perahu juga mahal,” katanya.

Margaret Kaya, penduduk kampung tersebut yang juga bertugas sebagai jururawat di klinik perkampungan tersebut turut berharap agar jambatan di perkampungan yang menghubungkan tiga buah rumah yang kini berada dalam keadaan yang sangat teruk, sempit dan licin dapat dibaiki atau dibina baharu.

“Selain itu, kampung ini banyak dihuni oleh penduduk dalam kalangan warga emas. Jadi saya berharap agar ada jambatan dapat dibina yang menghubungkan Klinik Kesihatan Nanga Engkuah, Sekolah Kerajaan Nanga Engkuah dan perkampungan.

“Jadi warga emas di sini terpaksa menunggu perahu yang lalu disitu untuk ke klinik kerana itu satu satunya jalan penghubung,” katanya.

Keadaan sungai yang dilalui oleh penduduk kampung. Foto Febbright James (TVS)

Terdapat tiga buah rumah panjang di kampung ini iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong dan majoriti penduduk dalam kalangan kaum Iban.

Walaupun jaraknya 50 kilometer, tetapi akses keperkampungan dari Pekan Song sekarang ini hanyalah dengan menggunakan pengangkutan sungai iaitu menaiki perahu yang mengambil masa lebih kurang tiga jam pergi dan tiga jam pulang.

Selain di Kapit, terdapat beberapa kampung lain di kawasan Parlimen di Sarawak turut dipilih menjadi Kampung Angkat Madani-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan