Search
Close this search box.
Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman ketika berucap pada Majlis Ta’aruf di antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq dan pengurusan Rombongan Haji Malaysia (Tabung Haji). Foto Zen Hashim (TVS)

Malaysia negara pertama lengkapkan E-Haj, pilih tapak perkhemahan di Masyair

ByLuqman Muhammad

MEKAH, 13 MEI: Malaysia sekali lagi merupakan negara pertama melengkapkan semua kontrak dalam sistem E-Haj sekali gus menjadikan Lembaga Tabung Haji (TH) memilih tapak perkhemahan di Masyair di bawah sistem pembahagian tapak bagi operasi musim haji 1445H/ 2024M.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata selain itu, Malaysia juga telah menjadi negara pertama menerima kelulusan visa haji untuk tahun ini sejurus pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membuka permohonan lebih awal menerusi Sistem Nusuk.

“Tabung Haji berazam dan terus berazam untuk meneruskan komitmen dan menjadi contoh kepada negara lain.

“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama, komitmen dan panduan daripada pihak Mashariq,” kata Syed Saleh ketika berucap pada Majlis Ta’aruf di antara barisan kepimpinan Syarikat Mashariq dan pengurusan Rombongan Haji Malaysia (Tabung Haji) di sini, pada Isnin.

Beliau memberitahu operasi Masyair adalah kemuncak kepada keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Mina, Muzdalifah dan Mekah selama lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Ia antaranya menurut Syed Saleh melibatkan keselesaan khemah di Arafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian, kelancaran pergerakan bas serta waktu melontar di Jamrah.

Katanya lagi Tabung Haji sentiasa meningkatkan program latihan kepada bakal Haji Malaysia sebelum mereka ke Tanah Suci disamping program di Tanah Suci.

“Pelbagai medium latihan termasuk kursus haji secara dalam talian telah disediakan bagi memastikan jemaah haji sentiasa mendapat maklumat dan panduan bukan sahaja berkaitan ibadat tetapi panduan kendiri dan peradaban kepada bakal haji, termasuk menjaga kesihatan dan mengekalkan kebersihan di persekitaran dimana mereka berada,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji berkata kerjasama erat yang terjalin sejak sekian lama di antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia akan berterusan dan menjadi lebih akrab.

“InsyaAllah, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kepada tetamu Allah SWT di masa-masa akan datang,” katanya lagi.

Bercakap mengenai majlis tersebut, Syed Saleh menyifatkan majlis ta’aruf diadakan itu dapat mengeratkan lagi persefahaman baik antara TH dengan Mashariq dalam usaha kedua-dua pihak berganding bahu memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh jemaah haji Malaysia. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan