Search
Close this search box.
Fahmi Fadzil berucap pada perasmian Pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Wartawan berjuang di barisan hadapan sejak sebelum merdeka – Fahmi

ByRegina Lee

KUCHING, 25 Mei: Sebelum negara mencapai kemerdekaan, golongan wartawan telah berada di barisan hadapan, menggunakan pena untuk menentang penjajahan dan menyemai perjuangan kepada pemerintahan sendiri.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, Utusan Melayu yang ditubuhkan pada 1939 menjadi wadah kepada pemimpin nasionalis menyuarakan tuntutan mereka untuk kemerdekaan.

“Tan Sri Abdul Samad Ismail, antara pengasas Utusan Melayu, merupakan tokoh kewartawanan yang memainkan peranan penting dalam gerakan menentang penjajah.

“Justeru, 29 Mei telah diumum dan diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA). Tarikh berkenaan dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian pameran HAWANA 2024 Majlis Perasmian Pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata evolusi dalam dunia kewartawanan semakin hari semakin melalui cabarannya tersendiri, dalam pada memenuhi kehendak dan tuntutan masyarakat yang dahagakan maklumat yang kini boleh diakses di hujung jari sahaja.

Ujarnya, dunia berada di era baharu dalam dunia kewartawanan, yang dipacu dengan perkembangan teknologi yang pesat dan perubahan zaman.

“Pada zaman digital kini, wartawan bukan sahaja perlu pandai mengolah atau menulis berita, mereka perlulah mempunyai kemahiran lain seperti mengambil gambar dan video serta menyuntingnya, semata-mata untuk memenuhi kehendak pembaca yang kini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Selain itu, pengamal media kini perlu bersaing dengan orang biasa menerusi media sosial dari segi kepantasan, dan pada masa yang sama, tidak mengabaikan integriti dan memastikan maklumat yang disampaikan sahih dan tepat.

“Justeru, kini terletak di bahu pengamal media sendiri sama ada mahu mengadaptasi perubahan ini, terutama dalam memastikan cabaran yang dihadapi akan dapat dilalui dengan lebih mudah tanpa perlu mengorbankan integriti dan prinsip kewartawanan itu sendiri,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan