Search
Close this search box.
Program perkhemahan anjuran Kelab Sarawak Trek & Hike, curah ilmu aktiviti luar kepada para peserta. Foto: FB Sarawak Trek & Hike.

Berkhemah bukan sekadar ‘merawat jiwa’  

ByNisa Kasnoon
https://youtu.be/a3NVz_jqJuI

Berkhemah bukan sekadar ‘merawat jiwa’  

SEMATAN, 24 Jan: Berkhemah di tepi pantai kini semakin diminati mereka yang gemar aktiviti riadah bersama keluarga. Ada yang menyifatkan ia merupakan ruang untuk merawat jiwa dan menenangkan fikiran. Namun, jika kena pada caranya, banyak ilmu yang boleh digarap.

Tidak melepaskan peluang, Kelab Sarawak Trek & Hike (STH) menganjurkan program perkhemahan yang dipenuhi pelbagai pengisian.

Pengerusi Kelab STH, Azhar Nor Mustapha menjelaskan, program tersebut mensasarkan dua kumpulan utama iaitu pemandu arah tempatan dan peminat aktiviti luar dan lasak.

“Ini bukan kali pertama STH mengadakan aktiviti seumpama ini. Pada tahun lepas kita telah menganjurkan acara lebih besar iaitu Sarawak Trek and Hike (STH) Outdoor Fest. 

“Kali ini kita kebih fokus kepada kumpulan sasar kita terhadap aktiviti-aktiviti seperti pemasangan khemah, atur susun kawasan perkemahan, ada aktiviti trekking, bushcraft, simpulan, memulakan api dan asas shelter termasuk asas rawatan kecemasan yang melibatkan kecedaraan apabila berlaku aktiviti-aktiviti luar,” jelasnya.

Menurutnya, kepakaran ahli-ahli STH juga merupakan bonus kepada kelab dalam mengendalikan program seumpama itu.

“Ahli-ahli STH ada beberapa individu pakar dalam bidang yang kita ketengahkan ini. Jadi kami mahu berkongsi ilmu ini supaya dapat dipraktikkan oleh mereka yang terlibat dalam dan berminat dalam aktiviti seperti ini. 

“Kita juga ingin memperkenalkan aktiviti luar dan lasak kepada mereka yang mahu menceburkan diri dalam aktiviti perkhemahan dan luar supaya kita dapat lebih ramai penyertaan dan tidak ketinggalan,” ujarnya.

Belajar cara ikat khemah. Antara perkara paling asas wajib dikuasai para penggemar aktiviti berkhemah. Foto: FB Sarawak Trek & Hike

Seorang fasilitator program, Mas Daud, menyifatkan program latihan asas ini lebih menjurus kepada perkongsian ilmu dan pengalaman khususnya kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti perkhemahan.

“Program seperti ini untuk memudahkan diri sendiri untuk mereka yang berminat untuk memulakan aktiviti perkhemahan khususnya yang bergerak secara solo. Selain itu, program ini juga platform perkongsian ilmu dan pengalaman yang boleh dijadikan rujukan kelak,” ujarnya.

Sementara itu, bagi peserta pula, selain mendapat ramai kenalan baru, banyak ilmu yang diperolehi terutamanya kaedah terbaik kelangsungan hidup ketika melakukan aktiviti luar dan lasak.

Mira Sahip menyifatkan program tersebut banyak membantunya dalam mengenali cara untuk mendirikan khemah dengan betul.

“Paling penting adalah bagaimana hendak pastikan khemah dalam keadaan selamat terutamanya kalau kita di pantai, kita tak akan jangka angin ribut yang kuat, ia sangat penting terutamanya bagaimana kita ikat tali khemah.

“Kalau siapa-siapa yang baru nak berkecimpung nak camping the most important lesson kena belajar nak setup khemah, terutamanya macam mana nak ikat tali khemah, kalau tak khemah kita terbang,” jelasnya.

Bagi Mohammad Nur Khairuddin Kassim Taha, selain dapat merapatkan silaturahim dan menambah kenalan, perkongsian daripada fasilitator amat bermakna bagi dirinya yang amat meminati aktiviti perkhemahan.

“Program sebegini mesti diteruskan kerana berupaya mengeratkan silaturrahim dan pada masa sama aktiviti perkhemahan ini santai. Ini satu cara untuk kita merawat jiwa dari kesibukan bandar,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Nurhidayah Sapiee, menyifatkan pengalaman yang dilaluinya amat menarik selepas sekian lama tidak melakukan aktiviti perkhemahan.

“Ini juga pengalaman pertama saya selepas lama tidak berhemah, kali terakhir masa sekolah rendah, inilah kali pertama selepas sekian lama. Pengalaman yang sangat menarik,” jelasnya.

Disertai seramai 40 peserta dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur, Program Latihan Asas STH: Aktiviti Luar dan Lasak berlangsung selama empat hari bermula 20 hingga 23 Januari 2023 di Pueh Karomboi Beachstay, Sematan.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan