Ervin Chang ketika sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian penajaan antara CIMB Bank Berhad dan pemain golf tersebut di Menara CIMB hari ini. Foto Bernama

Golf Terbuka Malaysia: Ervin berazam lakukan yang terbaik

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Pemain golf negara Ervin Chang berazam melakukan yang terbaik apabila turun beraksi pada Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Mines Resort and Golf Club, Seri Kembangan dekat sini bermula Khamis ini.

Pemenang dua pingat emas di Sukan Sea Hanoi 2021 itu berkata, secara mental beliau sudah bersedia memberi saingan sengit kepada pemain-pemain golf negara lain pada kejohanan yang juga merupakan kelayakan untuk kejohanan Terbuka British (The Open) 2024 yang berprestij.

Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland.

The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia, bermula pada 1860 dan menawarkan hadiah wang tunai bernilai US$16.5 juta pada edisi 2023.

“Saya bekerja keras semasa di luar musim, mencuba yang terbaik untuk melonjakkan tahap kemahiran saya, penumpuan mental saya dan cuba belajar sementara menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam permainan.

“Saya berehat sehari semalam untuk menyambut Tahun Baharu Cina, saya sudah bersedia untuk bertanding sejak dua minggu lepas. Saya akan lakukan yang terbaik di sana,” katanya di Majlis Penandatanganan Penajaan CIMB Group Holdings Berhad untuk dirinya di sini hari ini.

Ervin merupakan penerima terbaharu tajaan CIMB selepas jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang. Sebelum ini, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David juga pernah menerima tajaan CIMB.

Pencapaian terbaik oleh pemain golf tempatan pada Terbuka Malaysia sejak penganjurannya pada 1962 ialah melalui mendiang P. Gunasegaran yang menduduki tempat kedua pada edisi 1994, selepas tewas kepada pemain Sweden Joachim Haeggman dalam aksi lapan lubang mendebarkan pada perlawanan penentuan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment