Search
Close this search box.
Anggota bomba menyelamatkan mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air dengan memasang 'safety line' menyeberangi sungai. Foto JPBM

Kegembiraan berkhemah hampir bertukar tragedi, cemas terperangkap di kawasan kepala air Sungai Yong

KAPIT, 12 Feb: Kegembiraan seramai 41 pengunjung berkhemah di kawasan tebing sungai berhampiran Rumah Untang, Sungai Yong, Bukit Goram di sini, hampir bertukar tragedi selepas mereka berdepan detik cemas akibat terperangkap dalam fenomena kepala air yang berlaku malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kumpulan pengunjung terbabit dikatakan datang dari Bintulu untuk berkhemah di kawasan seberang sungai berkenaan sebelum cuaca hujan lebat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan orang awam terperangkap di kawasan terbabit pada jam 8.32 malam.

“Kita dimaklumkan seramai 41 mangsa terdiri daripada 20 orang dewasa dan 21 kanak-kanak terperangkap di kawasan seberang Sungai Yong.

“Pihak bomba dibantu pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bergegas ke lokasi bagi memberi bantuan dengan melakukan operasi menyelamatkan semua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, setiba di lokasi pada jam 8.53 malam, didapati terdapat sembilan keluarga yang berasal dari Bintulu sedang berkhemah dan bermalam di tebing seberang sungai tersebut.

“Operasi untuk memindahkan mangsa dijalankan dengan memasang ‘safety line’ menyeberangi sungai kerana air agak deras pada kedalaman paras dada (1.5 meter).

“Seterusnya anggota penyelamat menggunakan ‘personal line’ yang dipasang pada ‘safety line’ untuk membantu mangsa menyeberangi sungai seorang demi seorang,” jelasnya.

Timoty berkata, operasi memindahkan semua mangsa mengambil masa lebih kurang satu jam dan operasi selesai pada jam 9.56 malam, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seramai lapan anggota bomba dari BBP Kapit dan dibantu oleh dua anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan