Search
Close this search box.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Foto Faitullah Morni (TVS)

Pengguguran acara sukan Sukma merugikan – Abdul Karim

ByYusuf Shukri

KUCHING, 12 April: Pengguguran banyak acara sukan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) dilihat sebagai satu tindakan tidak relevan dalam misi membangun potensi sukan negara.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihak terlibat perlu jelas dengan misi membangun sukan negara kerana tindakan seumpama hanya akan merugikan dan Malaysia akan ketinggalan dengan negara-negara jiran yang mampu melahirkan ramai bintang olimpik.

Tingkat keaktifan sukan negeri, bukan gugurkan acara sukan.

Jelasnya, kekurangan penyertaan dari negeri-negeri lain dalam beberapa acara sukan tidak boleh dijadikan alasan pengguguran.

“Jika kita lihat dari aspek jangka panjang, setiap sukan yang digugurkan akan menyebabkan kerugian kepada negara kerana atlet yang kita bimbing, mereka tidak dapat bertanding.

“Jika begitulah keadaannya, maka ruang untuk kita menang dalam sukan antarabangsa seperti Olimpik, Komanwel, sukan SEA, ASEAN dan sebagainya semakin berkurangan.

“Keadaan lebih tertekan apabila atlet menjangkaui umur 20 tahun kerana mereka tidak layak lagi untuk bertanding jadi kita kasihan dengan mereka.

“Sebab itu saya harap dalam masa hadapan, setiap acara yang sudah dipersetujui untuk Sukma ini, kita kekalkan dan pertandingkan,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang di- Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi mengelakkan pengguguran acara sukan di masa hadapan, Karim mencadangkan agar syarat penyertaan sukan dikurangkan kepada sekurang-kurangnya empat negeri daripada enam negeri sebelum ini.

Jelasnya lagi, keputusan tersebut bagaimanapun memerlukan justifikasi yang kuat kerana syarat sebelumnya sudah dipraktikkan sejak Sukma mula dianjurkan pada 1986.

“Apa-apa keputusan haruslah datang dari pihak bertanggungjawab atas sukan ini dan perubahan mesti dilakukan atas sebab-sebab tertentu sahaja. Kita tidak boleh ubah ikut selera kita,” tambah beliau.

Karim turut berharap pihak Sarawak Sports Corporation (SSC) dapat membuat perundingan bersama dengan negeri-negeri lain supaya menghantar atlet mereka untuk bertanding dalam acara-acara yang mungkin digugurkan.

Antara sukan yang dijangka digugurkan dalam edisi sukma kali ini termasuk terjun, renang, futsal wanita, tinju wanita, muay thai dan taekwondo. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan