Search
Close this search box.
Seorang penternak lembu dan pembantunya menarik nafas lega apabila mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin serta memiliki senjata api. Foto hiasan Envato

Penternak lembu, pembantu bebas tuduhan edar dadah, miliki senjata api

ByBernama

KOTA BHARU, 21 April: Seorang penternak lembu dan pembantunya menarik nafas lega apabila mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mengedar dadah jenis methamphetamine dan heroin serta memiliki senjata api.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membebaskan Wan Marzuki Wan Daud, 59, dan Naim Azmi, 37, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, beberapa isu dipertimbangkan antaranya berkaitan bukti deoksiribonukleik (DNA), kunci rumah dan pemilikan sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah disewa oleh Wan Marzuki.

“Pelbagai sampel DNA juga diambil, namun tiada keterangan yang menunjukkan DNA mereka ditemukan ke atas dadah atau senjata api.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama mengedar 749.5 gram methamphetamine dan 87.8 gram heroin di sebuah rumah di Taman Pinggiran Atira 3, belakang Sekolah Menengah Kok Lanas, Mahang Barat, di sini pada 12.50 tengah malam, 25 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa bersama-sama ada dalam milikan sepucuk pistol jenis Revolver di tempat dan tarikh sama lebih kurang pukul 12.10 tengah malam mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Fatimah Abd Jabar manakala Wan Marzuki diwakili peguam J.Matthews dan Naim diwakili peguam Datin Norah Abu Bakar. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan