Search
Close this search box.
Adly menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada salah seorang veteran yang hadir. Foto TVS

Adly minta veteran tentera daftar diri dengan JHEV ATM, pastikan bantuan kerajaan sampai

SERIAN, 27 April: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta mendaftarkan diri dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi memastikan bantuan dan informasi mengenai bantuan disediakan kerajaan sampai kepada mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sehingga ke hari ini terdapat 213,000 veteran tentera di seluruh negara yang telah mendaftarkan diri bersama (JHEV) ATM.

“Kita tidak dapat memberikan angka sebenar jumlah veteran yang masih belum berdaftar dengan JHEV disebabkan ada antara veteran ini gagal dihubungi kerana berpindah mahupun bertukar nombor telefon. Sistem maklumat yang dibangunkan memerlukan veteran sendiri untuk mendaftarkan diri selain veteran perlu menyedari maklumat yang terdapat di dalam pangkalan data ATM tidak digunakan selepas mereka bergelar veteran.

“Walaupun kita ada data-data (dan) orang selalunya mengatakan mengapa data ATM tidak dipindahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran? Ini melibatkan data-data yang lama, jadi ini yang melibatkan sebahagian veteran yang mana di kawasan-kawasan pedalaman, jika mereka tidak berdaftar jika kita pergi kadang-kadang (melawat) mereka (mengatakan) tidak tahu, contohnya bantuan sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas tamat program Jelajah Peduli Veteran Madani (PVM) yang berlangsung di Dewan Masyarakat Serian hari ini.

Hadir sama ialah  Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia Sopian Iswandy Ismail, Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Negeri Sarawak Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Mejar Steven Kadir.

Menyentuh mengenai golongan yang ditamatkan perkhidmatan atau istilah lainnya veteran yang tidak berpencen, Adly berharap golongan itu turut menghantar permohonan semakan semula terhadap tindakan displin yang dikenakan sewaktu berada di dalam perkhidmatan untuk dipertimbangkan untuk menjadi veteran berpencen.

Jelas beliau lagi, bagi kes-kes tindakan displin yang berat, veteran yang tidak berpencen masih boleh mendapatkan bantuan dari agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  dan sebagainya.

“Dalam masa yang sama sebenarnya tidak membawa maksud bahawa mereka yang diambil tindakan itu terputus hubungan. Jika mereka datang dan meminta bantuan kepada kita, kita tetap akan membantu menerusi proses-proses yang ada,” katanya lagi.

Adly menyampaikan PJM kepada Thomas Anak Panyin. Foto TVS

Sementara itu, seramai tujuh veteran ATM  Sarawak menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas sumbangan bakti mereka sewaktu berkhidmat. tiga veteran menerima pingat tersebut di kediaman mereka, masing-masing yang terletak di Kampung Slabi Plaman, Kampung Sorak Sumpung dan Kampung Tebedu Mawang, Serian dalam siri Jelajah Peduli Veteran Madani (PVM) tengah hari tadi.

Ketiga-tiga veteran tersebut, dua darinya berstatus tidak berpencen menerima pingat tersebut yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari bersama rombongan dari Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM

Dua daripada veteran tersebut iaitu Prebet Mathew Bujang dan Prebet Thomas Panyin sakit akibat lumpuh manakala seorang lagi iaitu Pegawai Waran 2 Kuan Nawi @ Atek Noowich dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) akibat kemalangan Jalan Raya.

Selain pingat, ketiga-tiga veteran turut menerima bantuan kewangan bernilai  RM1,800 hingga RM1,900. Selain bantuan kewangan, turut diterima veteran adalah bantuan peralatan katil bagi veteran yang lumpuh dan bantuan kerusi roda bagi veteran OKU.

Empat veteran lain akan menerima pingat masing-masing dalam program PVM yang berakhir pada 1 Mei ini-TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan