Search
Close this search box.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Sarawak. Foto fail Jabatan Penerangan

DUN Sarawak lulus RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak

ByShafik Ahmad

KUCHING, 7 Mei: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Sarawak yang akan menempatkan lima pelabuhan di Sarawak di bawah satu pengurusan operasi berpusat.

Rang undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan ketiga.

Ia dibahaskan oleh 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dalam ucapan penggulungannya menghargai semua ADUN yang telah berbahas mengenai rang undang-undang itu sekali gus mengemukakan cadangan untuk pelaksanaan badan tersebut.

Terdahulu, Uggah memaklumkan rang undang-undang itu akan meluaskan fungsi Lembaga Pelabuhan Sarawak termasuk merancang, menyelaras pembangunan, pembesaran dan penambahbaikan pelabuhan Sarawak.

“Untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan perniagaan pelabuhan dan kawasan pedalamannya dan ketersambungan dengan pelabuhan lain dan hab pengangkutan di luar Sarawak, melesenkan semua pengendali pelabuhan dan pengusaha pelabuhan.

“Antara lain, menggalakkan kecekapan dan kebolehpercayaan perkhidmatan dan kemudahan mengikut piawaian antarabangsa dan amalan terbaik yang diiktiraf, bertindak sebagai pihak berkuasa bagi mana-mana zon bebas yang ditubuhkan di bawah dan tertakluk kepada seksyen 3(2) Akta Zon Bebas 1990 dan mengguna pakai penyelesaian karbon rendah dalam pengurusan dan pengendalian perusahaan pelabuhan,” katanya.

Kata Uggah, kuasa pihak berkuasa telah diperluaskan seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kedua Rang Undang-undang untuk membolehkannya menjalankan aktiviti yang bertepatan dan sesuai dengan menjalankan fungsinya di bawah undang-undang berkenaan.

Dengan berkuatkuasanya rang undang-undang itu, Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961 akan dimansuhkan, bagaimanapun perundangan yang dibuat di bawah ordinan yang dimansuhkan itu terus berkuat kuasa sehingga dibatalkan atau diganti dengan perundangan subsidiari baharu di bawah undang-undang baharu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS