Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak N.59 Tamin, Christopher Gira Sambang. Foto fail TVS

DUN Sarawak: KPM perlu tangani isu kekurangan guru Bahasa Iban yang kini tahap kritikal

ByMarzella Sigai

KUCHING, 8 Mei: Isu kekurangan guru Bahasa Iban di sekolah rendah dan menengah dilaporkan pada tahap kritikal harus ditangani segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.

Justeru itu, Gira memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengutamakan isu berkenaan ekoran bimbang terhadap usaha  untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Iban dalam kalangan generasi muda akan terjejas.

“Setakat ini, sebanyak 693 sekolah rendah dengan 67, 308 orang murid mengambil mata pelajaran Bahasa Iban. Kuota guru Bahasa Iban yang ada adalah seramai 352 orang, sedangkan kuota yang diperlukan adalah seramai 593 orang. Ini bererti masih kekurangan 241 orang guru Bahasa Iban yang diperlukan di sekolah rendah.

“Bagi sekolah menengah pula, sebanyak 83 sekolah menengah dengan 20, 070 orang murid yang mengambil mata pelajaran Bahasa Iban. Kuota guru Bahasa Iban yang ada adalah seramai 79 orang, sedangkan jumlah kuota yang diperlukan adalah seramai 182. Jadi ini bererti masih ada 103 orang kuota guru Bahasa Iban yang diperlukan di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Rabu.

Isu terbabit kata Gira pernah disuarakannya pada Persidangan Dewan Undangan Nengeri (DUN) Penggal Kedua pada tahun lepas namun masih belum diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau kali ini mengemukakan cadangan kepada KPM untuk menambahkan jumlah pengambilan guru pelatih Bahasa Iban di Sarawak bagi setiap pengambilan pelajar ke Institusi Pendidikan Guru (IPG) sekurang-kurangnya 100 orang pelatih setiap tahun sehingga isu kekurangan guru Bahasa Iban selesai.

“KPM diharapkan dapat menambah jumlah pengambilan guru pelatih Bahasa Iban di Sarawak dan diberi latihan yang sewajarnya di institusi-institusi pendidikan guru sedia ada, sejajar dengan taraf yang sudah diiktiraf.

“Yang kedua, KPM perlu memberi keutamaan kepada guru graduan IPG dan guru yang mempunyai ijazah perguruan dari institusi yang diiktiraf untuk mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS