Search
Close this search box.
Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus kadar rizab margin air bagi menampung kapasiti permintaan yang semakin meningkat. Foto hiasan, Envato.

Sarawak perlu 20 peratus rizab margin air tampung peningkatan permintaan

ByShafik Ahmad

KUCHING, 13 Mei: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 20 peratus kadar rizab margin air bagi menampung kapasiti permintaan yang semakin meningkat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata beberapa projek utama yang kritikal sedang dan perlu dilaksanakan segera sekali gus mengatasi masalah kekurangan rizab air.

“Pada masa sekarang, beberapa loji rawatan air utama sedang beroperasi pada kadar rizab margin yang rendah seperti Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching adalah pada kadar 12 peratus dan Loji Rawatan Air Salim di Sibu adalah pada kadar satu peratus sahaja.

“Bagi memastikan kita mempunyai rizab margin air yang mencukupi, kita hendaklah mempunyai rizab margin air pada kadar sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kapasiti loji rawatan air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Isnin.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan Sarawak telah meluluskan siling peruntukan sejumlah RM595.4 juta bagi pelaksanaan 104 projek bekalan air di seluruh Sarawak.

Antara skop utama yang sedang dan akan dilaksanakan ialah membina baharu atau menaik taraf 21 buah loji rawatan air dan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 1,700 kilometer.

“Pelaksanaan projek-projek ini amat penting bagi memastikan liputan dan fasiliti bekalan air seluruh Sarawak dapat ditingkat dan ditambah baik selaras dengan permintaan air yang kian meningkat,” katanya.

Setakat ini, permintaan air semasa adalah 2,060 juta liter sehari (JLH), bagaimanapun unjuran permintaan pada 2030 adalah 2,400 JLH berdasarkan kepada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.

Antara projek yang sedang dilaksankan termasuk naik taraf dua loji di Loji Rawatan Air Batu Kitang, loji baharu di Landeh dan loji di Salim, Sibu yang dijadualkan siap pada tahun ini dan menjelang suku keempat tahun 2026. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan