Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berharap kejadian serangan tersebut tidak akan berlaku di Sarawak. Foto Ahmad Nasrullah (TVS)

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Mengecewakan, libatkan nama agama – Dr Abdul Rahman

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 18 Mei: Serangan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru yang mengorbankan dua orang anggota polis pada awal pagi Jumaat, 17 Mei lalu sangat mengecewakan ekoran ia membabitkan agama Islam, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu berharap kejadian serupa tidak berlaku di negeri ini.

Dr Abdul Rahman mengakui Sarawak terkenal dengan perpaduan serta sikap saling hormat-menghormati antara kaum dan agama, dan nilai itu menjadi tunjang utama kehidupan masyarakat Sarawak yang makmur.

“Kita berasa kecewa dan susah hati kerana melibatkan nama Islam. Kita berharap semoga kejadian sebegini hanya melibatkan kumpulan tertentu dan tidak membabitkan agama Islam.

“Semoga kita dapat menjaga keselamatan di tempat kita, memastikan keharmonian dan nilai hormat-menghormati sesama kita akan kekal menjadi tunjang kepada kehidupan kita hari ini dan masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuching 1445H/2024M di Masjid Darul Hana, di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain. Dr Abdul Rahman memperjelaskan bahawa setiap agensi di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) terutamanya Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bertanggungjawab ke atas penganjuran aktiviti keagamaan Islam di negeri ini.

Tambahnya ia bagi memastikan keharmonian kaum dan agama di Sarawak dapat dikekalkan, selain turut mengambil kira faktor-faktor lain termasuk keselamatan.

“Contohnya, sekiranya ada dalam kalangan Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau ingin menjemput penceramah sama ada dari dalam mahupun luar negeri, mereka perlu mendapat tauliah secara rasmi daripada Pengarah JAIS.

“Sekiranya ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menyebarkan perkara yang bercanggah dengan Islam, ini adalah antara usaha yang dilakukan MIS melalui JAIS,” ujarnya.

Beliau pada masa sama turut menasihati Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau agar sentiasa memantau tempat masing-masing agar tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya ada pihak yang menyampaikan maklumat yang salah mengenai Islam, sampaikan maklumat tersebut kepada JAIS,” ujarnya lagi.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuching, Sofhi Jebal. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan