Fattah dan Siti menerokai kawasan Lundu untuk episod finale Staycation with Fattah & Siti. Dalam episod ini, mereka berdua menginap di ROXY Teluk Serabang, sebuah tempat penginapan menarik tepi pantai yang menjanjikan suasana dan masa tenang indah bagi pengunjung. Selain itu, Fattah dan Siti turut berpeluang untuk pergi ke Pulau Satang Besar, dimana mereka menjalankan aktiviti seperti snorkeling, melihat anak penyu dan melihat pulau burung! Setelah penat, Fattah dan Siti kemudiannya pergi ke Telaga Air dan menikmati makanan laut yang segar dan sedap di sana!
Untuk episod 12 Staycation with Fattah & Siti, hos kini menerokai kawasan Padawan dan Bau. Mereka pergi ke beberapa tempat menarik antaranya, Jangoi River Lodge di Padawan, dan Tasik Biru di Bau. Jangoi River Lodge terletak di Kampung Peraya Stabut, Padawan dan merupakan antara hidden gem di Kuching. Salah satu tarikan tempat berkelah ini adalah terdapat beberapa buah pondok yang berkonsep tradisional untuk pengunjung yang mahu berkhemah di sini dan turut memberi pengalaman lain daripada yang lain. Sudah tentu kalau anda berkunjung ke tempat kelah anda akan sekurang-kurangnya melakukan aktiviti BBQ. Anda boleh membeli arang dari kaunter pembayaran yuran masuk yang berharga RM3 seorang dan juga boleh menyewa pelampung sekiranya anda berminat untuk berenang. Keselamatan anda adalah keutamaan tertinggi bagi pihak Jangoi River Lodge, jadi mereka turut menyediakan lifeguard untuk mengawasi para perenang. Tasik Biru pula menyediakan tarikan yang tersendiri dengan adanya aktiviti terbaharu sepertiBau Bicentennial Bridge, “boat cruise” dan “paddle boat”. Selain dari tempat menarik, Fattah dan Siti turut merasai makanan yang sedap di Tasik Biru Food Village yang terdapat di sana.
Episod 11 Staycation with Fattah & Siti pula membawa penonton ke Kabong Beach Resort, yang terletak di pesisir pantai Tanjung Kembang. Mereka berdua turut menerokai beberapa tempat dan restoran menarik di sana, seperti Belian Corner di Kabong, PEDi Kubu Lily di Betong, Cowboy Coffee & Dine di Saratok, dan juga melawat perusahaan Gula Apong, Kg Hilir, di Pusa.
Untuk Episod 10, Fattah dan Siti pergi ke Lubok Antu dan tinggal di inap desa terbaru di sana, iaitu Homestay Sungai Sebungku, Lubok Antu. Mereka kemudiannya menerokai tempat-tempat menarik di sana seperti berjalan-jalan dan membeli kraftangan di Pasar Lubok Antu, pergi ke Pangkalan Hidro Batang Ai, Lubok Antu dan kemudian menikmati makanan yang sedap di H Cafe Lubok Antu.
Pada episod 9 ini, Fattah dan Siti pergi ke Homestay Rh Wilson Bana, Po Ai Melugu, Sri Aman. Di sini, mereka telah disambut dengan meriah oleh penduduk kampung kaum Iban dan telah disajikan dengan persembahan dan makanan yang sedap. Mereka berdua kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mount Hosanna Church, Sri Aman dan Fort Alice, Sri Aman, tempat menarik yang sesuai untuk pelancong yang datang berkunjung ke Sri Aman. Fattah dan Siti mengakhiri perjalanan mereka dengan menikmati makanan sedap di Tandang Sari, Sri Aman.
Episod 8 Staycation with Fattah & Siti pula membawa penonton ke Mukah. Fattah dan Siti mulakan perjalanan dengan pergi ke tempat penginapan Lamin Dana Boutique Cultural Lodge yang terletak di Kampung Tellian, Mukah. Hos turut melawat Jerunai, Kg. Tellian, Mukah, lambang yang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Jerunai telah dijadikan tempat persemadian orang-orang bangsawan Melanau pada masa dahulu tetapi tidak lagi diamalkan pada masa sekarang. Hal ini kerana masyarakat sekarang lebih bertamadun berbanding dengan masyarakat zaman dahulu. Kemudian, hos turut menambah ilmu dengan melawat beberapa tempat menarik iaitu Sapan Puloh Muzium Melanau dan Galeri Warisan Melanau, Oya, dimana-mana kedua-dua tempat ini adalah muzium yang mempamerkan simpanan barangan lama khazanah masyarakat Melanau dan selalu menjadi tarikan pengunjung di Mukah. Fattah dan Siti kemudiannya mengakhiri perjalanan mereka dengan membawa penonton merasai mi udang yang terkenal di Gerai Mi Udang, Oya.
Episod 7 Staycation with Fattah & Siti pula membawa penonton ke salah sebuah daerah kecil di Bumi Kenyalang ini, iaitu Sarikei, Sarawak. Terletak di pesisir bahagian tengah Sarawak, siapa sangka Pantai Belawai, Tanjung Manis mempunyai keindahan semulajadi yang memukau mata.
Iftitah Restaurant & Resort Belawai tampil dengan konsep “Stress Free Zone” mempunyai pelbagai rekabentuk chalet. Antaranya Castle, Concrete, Triangle dan Premium yang berhadapan Laut China Selatan. Fattah dan Siti kemudian membawa penonton ke Pusat Tenunan Songket Kg Rajang, Belawai untuk belajar mengenai seni ciptaan songket dan kemudian merasai makanan yang sedap di Kedai Kopi Aik Seng, Sarikei dan Yitery, Sarikei
Episod 5 Staycation with Fattah & Siti membawa penonton menerokai sebuah lagi hidden gem, iaitu Mebong Cove Villa, Bakun, sebuah inap desa atas pulau yang terletak di tengah-tengah Empangan Bakun. Mebong Cove Villa, Bakun bukan sahaja menawarkan tempat tinggal untuk Fattah & Siti serta pengunjung datang berkunjung, bahkan juga membawa mereka menikmati keindahan alam di tepi sungai Air Terjun Belanum. Fattah & Siti turut berpeluang untuk melakukan aktiviti kayak, serta merasai masakan tradisi etnik Kayan dan ikan panggang segar. Semuanya dilakukan di tepi Air Terjun Belanum!
Episod 4 Staycation with Fattah & Siti membawa penonton ke kawasan pendalaman, iaitu di Sungai Asap, Belaga. Di sini, kedua hos berpeluang untuk mempelajari cara hidup, budaya dan adat resam masyarakat Kayan yang tinggal di rumah panjang Uma Belor Leo Dian Sungai Asap, Belaga. Rumah panjang ini terkenal dengan keunikan struktur rumah panjang terputus yang terdiri dari tujuh buah blok rumah dan boleh menempatkan seramai 700 orang ketika musim perayaan! Hos Fattah dan Siti turut menyajikan penonton dengan pelbagai makanan tradisional etnik Kayan yang sedap. Penonton turut berpeluang menyaksikan keletah Fattah dan Siti menari tarian tradisional, dan bermain permainan tradisi etnik Kayan ketika menetap di sini.
Episod 3 Staycation with Fattah & Siti membawa penonton menikmati suasana kampung nelayan di salah satu inap desa di Kampung Kuala Sibuti Miri, laitu Izara Homestay & Cafe yang terletak di tepi pantai. Tempat makan yang sangat selesa dan inap desa yang sangat cantik membuatkan pengalaman pengunjung pasti berbaloi datang ke sini. Fattah dan Siti juga berpeluang merasai masakan makanan laut yang disediakan khas oleh pemilik inap desa sendiri! Seterusnya, Fattah dan Siti memperkenalkan kepada penonton beberapa lagi tempat menarik dan restoran atau kafe yang ada di Miri, seperti Pusat Kraftangan Miri, Coco Cabana, Pantai Tanjung Lobang, Restoran Muara dan The Brew Crew.
Episod 2 Staycation with Fattah & Siti membawa penonton ke sebuah inap desa yang tersergam indah di tepi pantai Bakam, iaitu di Tim’s Seaside Hideout Resort. Hos Fattah dan Siti kemudiannya membawa penonton menerokai tempat-tempat menarik di Miri, seperti Taman Rizab Semula Jadi Piasau, Miri dan Muzium Petroleum Miri. Fattah dan Siti juga bakal membawa penonton merasai nasi kandar dan makanan laut di restoran-restoran legend di Miri, iaitu di Restoran Asian Nasi Kandar dan Taman Seroja!
Staycation with Fattah & Siti membawa penonton menerokai salah satu destinasi pelancongan di Miri, iaitu Borneo Tropical Rainforest Resort. Dikelilingi alam semulajadi, hos Fattah dan Siti bukan sahaja berpeluang untuk berehat di resort yang cantik dan indah, bahkan juga dapat memanaskan badan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti flying fox, boating, monkey jump dan sebagainya! Sesudah aktiviti, Fattah & Siti kemudian disajikan dengan makanan yang sedap di One Tree Hill Cafe dan Palm Restaurant & Bar yang menghadap pemandangan Lambir Hills yang sungguh menakjubkan.
Staycation with Fattah and Siti musim ke-2 merupakan sebuah program travelog yang memaparkan lokasi percutian dan tempat makan yang menarik di sekitar Sarawak.
Ingin tahu tempat-tempat menarik di seluruh Sarawak? Jom tonton Staycation with Fattah & Siti.