Search
Close this search box.
Usahawan makanan dan minuman halal negara yang menyertai Pameran Perdagangan Antarabangsa Gulfood 2024 di Dubai berjaya mencapai potensi jualan mencecah RM131 juta. Foto hiasan Envato.

Parlimen: Usahawan F&B halal Malaysia raih potensi jualan RM131 juta di Dubai

BySteward Dawi

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Penyertaan 10 usahawan serta syarikat francais makanan dan minuman halal negara pada Pameran Perdagangan Antarabangsa Gulfood 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lepas berjaya mencapai potensi jualan mencecah RM131 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua peserta itu juga berjaya meraih jualan sebenar sebanyak RM18.7 juta.

Kata beliau, pencapaian itu merupakan antara kejayaan berikutan usaha kementerian untuk membangunkan usahawan tempatan dengan empat program utama yang dirancang pada tahun ini.

“Antaranya termasuk Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal dengan peruntukan berjumlah RM1 juta yang bertujuan menyediakan bantuan pematuhan pensijilan halal kepada usahawan. Di bawah program ini, usahawan yang layak akan ditawarkan bantuan geran pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menampung kos pematuhan syarat-syarat pensijilan halal,” katanya.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (Perikatan Nasional -Kulim Bandar Baharu) yang meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah perancangan kementerian bagi membantu para usahawan mikro Bumiputera seperti industri makanan dan minuman termasuk skim pembiayaan serta langkah proaktif yang diambil bagi merancakkan sektor keusahawanan halal menerusi pembangunan kapasiti usahawan dan produk.

Tambah Ewon, kementerian juga melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal, Program Inovasi dan Teknologi Halal dan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bertujuan menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran antarabangsa.

“Melalui program ini, seramai 200 orang usahawan dijangka akan dibantu dengan membiayai kos penyertaan usahawan dalam pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan, golongan kurang upaya (OKU) turut diberi peluang melibatkan diri di dalam bidang keusahawanan dan koperasi dengan kementerian telah menambah baik jawatankuasa sebelum ini yang telah diubah menjadi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Wanita dan OKU.

“Melalui jawatankuasa itu mereka dapat memberi pandangan yang akan diteliti oleh kementerian bagi menyediakan program-program yang bertepatan dengan mereka.

“Manakala program-program sedia ada sentiasa mempunyai fokus dan ruang untuk memberi bantuan kepada para usahawan OKU di negara ini,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan