Search
Close this search box.
Datuk Chua Sui Hau (kanan) dikunjungi Ting Chai Shi (dua dari kanan) bersama ibu bapanya bagi memohon kutipan dana orang ramai bagi pembedahan buah pinggang. Foto One Hope Charity & Welfare

Gadis dari Bintulu perlu bantuan RM170,000 jalani pemindahan buah pinggang

BUKIT MERTAJAM, 25 Mac: Seorang pesakit buah pinggang dari Bintulu, Ting Chai Shi, 25, memerlukan bantuan orang ramai bagi menjalani pemindahan buah pinggang daripada ibunya.

Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kedua-dua belah buah pinggang gadis itu telah rosak semenjak di bangku sekolah menengah iaitu kira-kira 12 tahun lalu sehingga terpaksa menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Ujarnya, Chai Shi bersama keluarga tampil ke badan amal tersebut yang berpangkalan di sini bagi meminta bantuan kutipan dana untuk menjalani pemindahan salah satu buah pinggang ibunya, Chew Siew Foong, 56, selepas didapati ia sepadan.

“Ibu Chai Shi tidak lagi sanggup melihat anaknya itu terus menanggung derita dan berhasrat mendermakan buah pinggangnya.

“Ibunya hanya berharap agar gadis ini mengakhiri rutin dialisis dan kembali menjalani kehidupan normal kerana dia masih muda dan perjalanan hidup masih panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sui Hau, prosedur itu yang akan dibuat di ibu negara dijangka akan menelan kos RM170,000.

“Bapanya, Ting Haw Seng, 60, merupakan penjaja di gerai mi, manakala ibunya suri rumah.

“Mereka tidak mampu menampung kos pemindahan itu sendiri dan berharap bantuan dana daripada orang ramai yang budiman,” katanya lagi.

Menurut beliau, gadis itu mula dikesan dengan masalah tersebut semasa berumur 14 tahun apabila fungsi buah pinggangnya hanya tinggal lima peratus setelah sering demam, sukar bernafas dan badan menjadi bengkak.

“Pada 2018, dia turut disahkan mengalami masalah kelenjar paratiroid yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam pengaturan kalsium serta tulang menjadi lemah dan mudah patah.

“Doktor tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh dialisis yang berpanjangan sehingga memaksa dia perlu mengambil ubat tulang yang menelan kos RM2,000 sebulan,” katanya sambil memberitahu gadis itu pernah mengalami patah tulang dua kali akibat masalah tersebut.

Orang ramai yang berhasrat membantu Chai Shi, sila hubungi 04-539 9212 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan