Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol berkata bangsa Sarawak tanpa mengira agama dan kaum sentiasa menyantuni mereka yang telah pergi menghadap Ilahi dengan iringan doa yang baik-baik. Foto Saibi (TVS)

DUN Sarawak: ‘Orang Sarawak kenang jasa pemimpin’

BySaibi Gi

KUCHING, 8 Mei: Budaya politik yang jijik dan tidak beradab tidak ada tempat di Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Chong Chieng Jen daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang tidak menyokong Usul Penghargaan kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Kita bangsa Sarawak tanpa mengira agama dan kaum sentiasa menyantuni mereka yang telah pergi menghadap Ilahi dengan iringan doa yang baik-baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan bagi menyokong Usul Penghargaan kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Abdullah turut menyifatkan tindakan Chieng Jen sebagai tidak bijak dan seorang ADUN mempamer sikap tidak matang.

“Ramai tidak menyedari bahawa kestabilan politik dan pentadbiran di Sarawak sekarang ini adalah hasil legasi dan didikan pemimpin dahulu yang berjiwa besar dan berani,” katanya.

Selain Chieng Jen, ADUN Pending Violet Yong juga tidak menyokong usul yang dibentangkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdullah yang juga bekas Ketua Setiausaha Politik kepada Tun Taib berkata, sikap dua ADUN DAP itu menggambarkan adab, budaya dan pemikiran sebuah parti politik yang kasar, hipokrit dan biadap.

Menurutnya, ketika hayat, Tun Taib telah mengabdikan hidupnya untuk membangunkan Sarawak dari pelbagai aspek.

Perjuangan Tun Taib telah menyumbang pembentukan Sarawak yang kini memiliki asas yang kukuh untuk melindungi generasi seterusnya.

“Rumah kita ini juga dari masa ke semasa diubah suai oleh pemimpin-pemimpin penyambung bagi meneruskan kesejahteraan penghuni-penghuni rumah iaitu kita semua anak Sarawak.

“Dedikasi dan jasa Allahyarham Tun Pehin Seri Abdul Taib, jangan kata kita tidak merasa,” katanya.

Mengulas lanjut di luar Dewan, Abdullah berkata ketika bekas ADUN Bukit Assek merangkap ketua pembangkang dari DAP, mendiang Wong Ho Leng meninggal dunia pada 2014, ramai pemimpin kerajaan termasuk beliau sendiri memberi penghormatan kepada mendiang.

“Kita memberi penghormatan sewajarnya di luar batas fahaman politik kerana sedikit sebanyak teguran dan kritikan mendiang Wong Ho Leng bersifat konstruktif dan sumbangan beliau dihargai,” katanya.

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan