Search
Close this search box.
Jabatan Muzium Sarawak akan mengadakan pameran bertemakan 'Urang Sarawak: Come Learn With Us' bagi mempromosi budaya dan warisan Sarawak kepada pengunjung HMA. Foto Muqri Aziz (TVS)

Pameran ‘Urang Sarawak: Come Learn With Us’ di Festival Hari Muzium Antarabangsa

ByMuqri Aziz

KUCHING, 8 Mei: Jabatan Muzium Sarawak (JMS) akan mengadakan pameran bertemakan ‘Urang Sarawak: Come Learn With Us’ pada Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) yang bakal berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang dari 16 hingga 22 Mei ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran itu kelak bertujuan bagi mempromosikan budaya dan warisan Sarawak kepada pengunjung yang datang dari dalam dan luar negara.

“Pameran tersebut membawa naratif mengenai pemahaman terhadap konsep konservasi berserta pameran koleksi etnologi, zoologi, manuskrip Borneo dan gambar-gambar berkaitan arkeologi yang terdapat dalam simpanan Jabatan Muzium Sarawak.

“Ia akan dipamerkan di dalam reruai pameran yang berbentuk rumah tradisional kaum Bidayuh iaitu ‘Baruk’,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi.

Selain daripada penganjuran reruai pameran, bengkel dan persidangan serta persembahan kebudayaan dan lain-lain, Abdul Karim berkata, JMS turut menghantar 25 orang dari kontinjen JMS Sarawak untuk menyertai sembilan jenis sukan pada 13 dan 14 Mei ini yang dianjurkan di Padang Kota Lama dan Batu Feringgi.

Antara acara sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak pantai, tarik tali, bola jaring pantai, museum’s titan, tugs of dragon boat, rowing, table pool, sandcastle serta acara balapan iaitu larian 100 meter, 200 meter dan 4 x 100 meter yang akan diketuai oleh Chef-De-Mission, Rhemy Romeo Jamal.

Tambah Abdul Karim, penganjuran festival kali ke-28 yang bertemakan ‘Museum, Education and Research’ itu bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Tema ini adalah berdasarkan matlamat nombor empat iaitu pendidikan berkualiti (quality education) dan matlamat nombor sembilan iaitu industri, inovasi dan infrastruktur (industry, innovation and infrastructure) daripada 17 matlamat yang terdapat pada SDGs.

“Objektif sambutan HMA adalah untuk membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan fungsi dan peranan muzium sebagai sebuah institusi yang signifikan serta relevan dalam pembangunan masyarakat pada masa kini,” ujarnya.

Penganjuran festival yang menghimpun lebih 1,000 warga muzium dari 28 buah institusi permuziuman dari dalam dan luar Malaysia itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selaku tuan rumah yang turut disertai Abdul Karim sendiri serta 10 pegawai JMS yang lain pada 18 Mei ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan