Search
Close this search box.
Suami mendiang Joanna Felicia Rohna, Bintara Muda TMK Haslie Ali bersama anaknya, Hovannes Haslie ketika ditemui media di kediamannya, di sini, hari ini. Foto Alex Teo (TVS)

Mendiang Joanna seorang isteri yang ‘sweet’ – Haslie

ByOdleen Catherny

SERIAN, 26 April:  “Kalau bergaduh sekalipun, itu masih lagi sweet,” luah Bintara Muda TMK Haslie Ali sambil mengenang kembali sifat isterinya, mendiang Joanna Felicia Rohna sebagai seorang wanita yang menawan dan berkarisma.

Haslie turut mengakui mendiang isterinya itu seorang yang peramah, mesra serta mudah diajak berkomunikasi selain tidak pernah menyembunyikan apa yang ingin diungkapkan.

Suami kepada Laskar Kanan JJM itu mendedahkan mendiang juga seorang yang tegas namun sangat penyayang.

Sebelum kejadian, mendiang Joanna pernah berpesan kepada Haslie agar menjaga anak-anak mereka andai dirinya meninggal dunia terlebih dahulu.

“Pada ketika itu, dia sedang menonton drama Korea Selatan, yang berjudul Queen of Tears. Dia menangis semasa menonton drama itu. Mungkin terbawa-bawa oleh emosi kerana dalam drama itu pun watak heroin yang juga seorang isteri dijangka meninggal dunia akibat penyakit. Jadi, dia (Joanna) pun cakaplah dengan saya, kalau dia mati nanti, tolong jaga anak-anak. Saya terkejut dengan kata-kata dia itu dan menganggap dia merepek,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya, di sini, pada Jumaat.

Selain itu, Joanna juga tidak pernah berkira serta ringan tangan membantu keluarga dan rakan-rakannya.

“Dia seorang yang sangat penyayang. Kalau saya cerita ini, memang saya akan menangis. Dia baik dengan keluarga dan rakan-rakannya. Namun sebagai seorang ibu, dia tetap tegas, dalam ketegasannya masih terselit sifat penyayangnya,” kongsinya lagi.

Mengimbau kembali detik perkenalan mendiang dan bapa kepada Allesia Felice Haslie, 4, dan Hovannes Haslie, 1, itu lagi, Haslie memberitahu mula mengenali Joanna sekitar tahun 2018 hingga 2019 lantas mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan bercinta selepas berkahwin.

“Kita sudah suka sama suka, dan keputusan berkahwin itu pun berlaku secara mengejut. Kami sama-sama jatuh hati ketika bekerja. Saya merupakan senior dia, saya masuk berkhidmat pada 2013, dia pula sekitar 2017.

“Saya yang mula menyapa dia dahulu sebab dia sangat menarik di mata saya. Personaliti Joanna ini yang orang perlu tahu, dia kuat mengusik rakan-rakan dia,” ujarnya.

Haslie sebelum mengakhiri perbualan menyifatkan kehidupannya bersama mendiang isterinya itu sebagai pasangan yang saling melengkapi antara satu sama lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan