Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan delegasi Kerajaan Sarawak tiba di London bagi lawatan kerja rasmi. Foto Awang Azmil (TVS)

Abang Johari tiba di London, bawa misi perkasa industri semikonduktor Sarawak

ByHafeezzur Muzamir

LONDON, 23 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sedang dalam rangka lawatan kerja rasmi ke United Kingdom (UK) meneruskan misi kerajaan negeri dengan berkunjung ke London pada Isnin.

Abang Johari bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta rombongan kerajaan negeri tiba di sebuah hotel penginapan di London pada jam 7 malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau selepas mengetuai delegasi kerajaan negeri melawat Loji Janakuasa Drax, loji tenaga yang dijana melalui palet kayu dengan kapasiti penjanaan 3,960 megawatt yang terletak di Yorkshire Utara, England pada sebelah petang Isnin.

Lawatan kerja delegasi Kerajaan Sarawak ke London itu bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dua hala antara Sarawak dan UK dalam industri semikonduktor.

Ia merupakan usaha berterusan Kerajaan Sarawak bagi mengukuhkan kerjasama dengan UK dalam sektor semikonduktor memandangkan negara itu merupakan kuasa besar dan rakan dagang utama negara.

Pada Selasa, Abang Johari dijadual berucap pada Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor di Dewan Rakyat, Parlimen UK pada Selasa dengan beliau turut akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan syarikat dari UK, CSA Catapult.

MoU kerjasama itu merupakan usaha Sarawak untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsinya di UK bagi memacu inovasi yang akan membentuk semula keupayaan serta aplikasi semikonduktor kompaun diperbuat daripada dua atau lebih elemen berbanding silikon yang diperbuat daripada satu elemen.

Turut dijadual berucap pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil dan beberapa menteri dalam kabinet Kerajaan UK.

Usai majlis itu, Abang Johari dan delegasi Kerajaan Sarawak akan bertolak ke Poland bagi menghadiri Forum Teknologi Hidrogen.

Beliau dijadual menyertai sesi ‘Debate Regions for the Planet’ bagi berkongsi persepektif Sarawak ke arah peralihan tenaga boleh diperbaharui serta kelestarian alam sekitar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan