Search
Close this search box.

Pembangunan semikonduktor kompaun pacu inovasi, jana teknologi – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

LONDON, 23 April: Kerjasama strategik Sarawak dengan rakan industri terkemuka di United Kingdom (UK) terhadap pembangunan semikonduktor kompaun diyakini memacu inovasi untuk meningkatkan keupayaan cip mikro dalam menjana teknologi dan aplikasi baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak menyifatkan semikonduktor kompaun penting untuk inovasi, pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan pembangunan mampan negeri.

Abang Johari mangakui, Sarawak menaruh keyakinan bahawa semikonduktor kompaun mampu membuka peluang baharu untuk pertumbuhan, inovasi, daya saing serantau dan peringkat global.

“Pelaburan dalam semikonduktor kompaun selaras dengan visi jangka panjang kami untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama untuk teknologi tinggi pembuatan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SMD Semiconductor dan Compound Semiconductor Applications (CSA) Catapult di Dewan Rakyat Parlimen UK di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, beberapa tahun kebelakangan ini landskap semikonduktor telah menyaksikan anjakan paradigma, dengan semikonduktor kompaun muncul sebagai asas kepada teknologi generasi akan datang.

“Tidak seperti semikonduktor berasaskan silikon tradisional, semikonduktor kompaun menawarkan keupayaan prestasi yang tiada tandingan merentasi pelbagai aplikasi, daripada telekomunikasi dan sistem tenaga kepada elektronik termaju dan seterusnya,” katanya.

Abang Johari memberitahu, dalam usaha merealisasikan visi Kerajaan Sarawak menguasai industri semikonduktor, pihaknya menubuhkan SMD Semiconductor pada 2022 iaitu entiti bagi memacu kemandirian teknologi dan inovasi.

“Pada terasnya, SMD Semiconductor berada dalam misi untuk memupuk ekosistem optimum, meletakkan Sarawak secara strategik sebagai destinasi pelaburan utama untuk industri semikonduktor dan penyedia penyelesaian hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata Sarawak berhasrat untuk menjadi hab terkemuka dan penyedia penyelesaian penting, memupuk persekitaran yang kondusif untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengkomersilan teknologi semikonduktor termaju.

Mengulas lanjurt, Abang Johari juga menyatakan bahawa semikonduktor kompaun menawarkan potensi transformatif merentas industri.

“Dalam rangkaian 5G, mereka membolehkan penghantaran data yang lebih pantas dan kapasiti yang lebih besar. Dalam elektronik kuasa, mereka mencipta peranti yang lebih cekap untuk kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

“Selain itu, mereka memacu kemajuan dalam fotonik, optoelektronik dan penderia, yang memberi manfaat kepada penjagaan kesihatan, aeroangkasa dan pertahanan,” katanya.

Beliau dalam pada itu optimis bahawa MOU itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, mendorong kedua-duanya ke arah inovasi masa depan dan kejayaan bersama.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan